Perodua mensasarkan kemalangan jalan raya sifar yang melibatkan kakitangan pergi dan pulang dari tempat kerja masing-masing serta kemalangan industri sifar semasa menjalankan tugas masing-masing menjelang tahun 2021. Sehubungan itu satu Kempen Kemalangan Sifar untuk 10,300 pekerja Perodua di seluruh negara telah dilancarkan sebagai susulan kepada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya pada Oktober 2017 untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Kempen Kemalangan Sifar Perodua ini disokong oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kedua-dua organisasi ini berada di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Kempen Kemalangan Sifar Perodua ini merupakan inisiatif pertama kami khas buat para kakitangan kami, melibatkan bahagian pengeluaran, penjualan dan lepas jualan, agar mereka boleh menjadi contoh sebagai pemandu baik dan berhemah,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Kempen Kemalangan Sifar Perodua ini telah dirasmikan oleh Datuk (Dr) Aminar dan disaksikan oleh Pengarah JKKP Kedah En Hairozie Asri, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin serta Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kumpulan Perodua.
“Walaupun isu pengurangan dan penghapusan kemalangan industri memang menjadi tumpuan utama Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kami kini memperluaskan tumpuan kami kepada aspek perjalanan di luar premis kami.”
“Kami percaya bahawa penyemaian tabiat pemanduan yang baik bermula di rumah dan kami akan sentiasa mendidik kakitangan kami tentang keselamatan serta menjadi pemandu yang bertanggungjawab supaya mereka boleh menjadi contoh terbaik buat semua,” kata Aminar.
Kempen Kemalangan Sifar Perodua akan dilancarkan secara berperingkat bermula dari 13hb Ogos hingga akhir tahun. Aminar berkata Perodua akan memperoleh pengajaran dan pengalaman daripada kempen ini untuk dimanfaatkan dalam Kempen lima-tahun Keselamatan Jalan Raya Perodua.
Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dengan mendidik para pemandu tentang kepentingan memahami dan mematuhi peraturan asas jalan raya seperti memakai tali pinggang keledar, menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, menggunakan lampu isyarat membelok serta tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu.
“Kami memilih pendidikan sebagai pendekatan kami kerana kami percaya kebanyakan pemandu Malaysia tahu mengenai peraturan jalan raya, tetapi mereka mungkin tidak memahami sebab-sebab di sebalik peraturan tersebut.
“Sudah tentu pendidikan akan mengambil masa yang lama, tetapi apabila mereka memahami sepenuhnya, kesannya akan menjadi lebih kuat," kata Aminar.
1 comment:
gembira dengan pasukan Perodua Aruz
!!
Post a Comment