Idemitsu Kozi Yam Honda Racing yakin di Perlis

Pada saingan pembukaan musim 2018, pelumba-pelumba pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing yang pernah memegang takhta selaku juara kategori WIRA KBS selama tiga tahun berturut-turut pada 2015 hingga 2016 gagal untuk menaiki podium namun mula bangkit pada pusingan kedua apabila Md Fadlyshah Redzuan menamatkan saingan di tempat ketiga. Namun selaku antara pelumba yang diharapkan untuk membawa podium kepada pasukan,  Md Syarifuddin Azman yakin pasukannya itu kini semakin mendapat rentak dan akan terus memberikan cabaran sengit dalam perlumbaan kelas WIRA KBS pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.
 Syarifuddin mula mempamerkan aksi sebenar apabila meraih dua kemenangan berturut-turut pada pusingan keempat di Temerloh dan kelima (Teluk Intan) selepas kecewa gagal menamatkan dua perlumbaan pusingan awal tahun ini.

“Pada peringkat awal musim, kami masih mencari dan mencuba pelarasan baru yang ingin digunakan pada tahun ini, namun malangnya kami gagal untuk menaiki podium dan saya sendiri gagal untuk menamatkan perlumbaan,” jelas Syarifuddin.  “Namun selepas itu, hasil kerja keras semua, kami mula bangkit dan terus memperbaiki kesilapan yang ada sehingga akhirnya saya dapat menjuarai dua perlumbaan berturut-turut,” tambahnya.


Mengulas tentang peluang untuk mengejar kedudukan keseluruhan yang dipegang oleh Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) dengan 97 mata, Syarifuddin yang berada di tangga keempat dengan 58 mata berkata dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut.
“Perbezaan mata ketika ini agak jauh namun saya tidak mudah menyerah kalah kerana tidak mustahil untuk saya mengejar. Cuma fokus saya berbeza, saya hanya mahu memberi tumpuan untuk memenangi satu demi satu perlumbaan berbanding dengan gelaran.”

No comments: