Kemenangan satu-dua sekali lagi untuk PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing meneruskan dominasi musim 2018 dengan satu lagi keputusan satu-dua melalui gandingan Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hari ini.

Litar sepanjang 1.305km di Teluk Intan itu jelas begitu sesuai dengan gaya penunggangan Ahmad Afif yang mantap. Bermula dari petak pertama setelah menguasai sesi SuperPole, Afif langsung tidak digugat oleh mana-mana pesaing sepanjang 20 pusingan perlumbaan. Pelumba dari Terengganu itu berjaya memperoleh kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 17'15.623s.

Rakan sepasukan, Mohd Hafiz berjaya menaiki podium di tempat kedua dengan masa 17'22.237s. diikuti pemenang tempat ketiga, Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 17'24.225s.
 Sementara pasukan CKJ meraikan kejayaan 1-2 yang kedua musim ini, pasukan yang digeruni ramai, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pula bergelut dengan pusingan paling mencabar musim ini. Keputusan terbaik bagi pasukan itu diperoleh menerusi Mohd Ramdan Rosli yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, di belakang Rozaiman Said dan Helmi Azman. Kerosakan mekanikal menyebabkan Mohd Akid Aziz terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama sementara Kasma Daniel Kasmayuddin juga terjatuh di selekoh pertama pada pusingan permulaan.
  "Jentera pasukan kami begitu mantap musim ini. Ianya merupakan hasil titik peluh dan usaha gigih kru kejuruteraan pasukan kami. Di sini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih," kata Afif.

"Saya begitu yakin dengan jentera yang telah kami hasilkan bersama dan ketika dalam perlumbaan, saya hanya menumpukan sepenuh perhatian untuk mengekalkan rentak perlumbaan tanpa menghiraukan apa yang berlaku di belakang."

Afif, yang telah menaiki podium sebanyak lima kali berturut-turut musim ini mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 115 mata. Mohd Hafiz naik ke tangga kedua dengan 74 mata sekaligus menolak Kasma Daniel Kasmayuddin turun ke tangga ketiga dengan 70 mata.

KEPUTUSAN PUSINGAN 5, TELUK INTAN, PERAK
CP150
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:15.623s
2 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:22.237s
3 Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 17:24.225s
4 Md Rozaiman Md Said (PNG) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:41.015s
5 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 17:41.693s

Kedudukan Keseluruhan
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 115 mata
2 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 74 mata
3 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
4 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 45 mata
5 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40 mata


No comments: