Proton telah mengalami peningkatan jualan dalam bulan Ogos 2018 seperti yang dicatatkan pada bulan-bulan sebelum ini. Syarikat itu sekali lagi memperoleh jualan bulanan tertinggi bagi tahun 2018 untuk tiga bulan berturut-turut. Jualan mereka meningkat sebanyak 18.5% berbanding Julai, menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi untuk kereta-kereta Proton sejak 36 bulan yang lalu. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, yang merupakan jumlah jualan terbanyak sejak Julai 2015.
Saga dan Persona terus mendominasi peningkatan pegangan pasaran selama tiga bulan berturut-turut. Sama seperti 7 bulan sebelum ini, kedua dua model ini kekal menjadi model pilihan pembeli. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan sebanyak 2,957 unit terdaftar dalam bulan Ogos. Model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.
“Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan tiga kali berturut-turut untuk PROTON," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa. "Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini. Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik.”
No comments:
Post a Comment