Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman kan menumpukan fokus untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan pusingan kelima SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di LitarAntarabangsa Sentul, 12 hingga 14 Oktober ini.
Beliau tidak akan membiarkan kontroversi yang melibatkan pencabar utamanya, Anthony West dari Australia yang dikatakan digantung oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIM) berkait ujian dadah. Isu ini sudah pasti akan menjejaskan aksi pendahulu keseluruhan tersebut pada minggu ini.
Menurut Azlan, dia ada membaca mengenai isu tersebut namun tidak dapat dipastikan bilapenggantungan ke atas West itu akan mula berkuatkuasa.
“Saya tidak pasti sama ada dia (West) akan beraksi ataupun tidak. Tidak ada berita khusus mengenainya terutama bilakah hukuman itu akan mula dilaksana ataupun masih perlu menunggu ujian berikutnya sebelum segalanya dikuatkuasa.
“Lagipun, jika benar dia digantung dan tidak boleh beraksi, saya tidak pasti adakah hukuman yang akan diterimanya akan menjejaskan jumlah kutipan mata yang dipungutnya ketika ini. Apa yang penting kepada saya pada minggu ini adalah hanya fokus kepada perlumbaan dan cuba untuk memenangi kedua-dua perlumbaan,” jelas pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.
Tambahnya, “Perlumbaan minggu ini sangat penting kepada saya. Ini adalah peluang terbaik untuk merapatkan jurang pungutan mata ketika ini. Selain mendapat sokongan penyokong di Malaysia, sokongan penyokong tuan rumah kepada pasukan ini juga pasti meningkatkan semangat saya untuk menang minggu ini.”
No comments:
Post a Comment