Jangkaan kehadiran lebih 170,000 penonton sepanjang tiga hari bagi perlumbaan yang bertaraf antarabangsa Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018, Sepang International Circuit (SIC) telah menjalin kerjasama rapi dengan pelbagai agensi dalam perlaksanaan merangka pelan keselamatan, aliran trafik, logistik dan penguatkuasaan dengan pimpinan penuh oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).
Selain para pegawai dan staf dari KBS, pelan berkenaan turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Polis Di Raja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Polis Bantuan Persekutuan (FRU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK), Majlis Perbandaran Sepang, Rapid KL serta Shell Malaysia selaku penaja utama acara MotoGP Malaysia dan beberap agensi lain yang akan menyediakan perkhidmatan bas perantara untuk keselesaan para peminat.
Di bawah pelan berkenaan, satu mekanisme penyelarasan dan penyeliaan operasi akan diwujudkan bagi memastikan kesempurnaan dalam kelancaran hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, aliran trafik, pengurusan logistik dan penguatkuasaan untuk acara perlumbaan berkenaan, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 2 November ini.
“SIC ingin merakamkan penghargaan kepada pihak KBS khususnya YB Menteri, YB Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman atas kesudian memimpin inisiatif yang bakal memanfaatkan kira-kira 170,000 penonton yang akan hadir pada perlumbaan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018 ini. Kami menjangkakan sambutan yang jauh lebih hebat daripada edisi tahun lepas dan acara ini perlu dijalankan dengan baik dan selamat untuk menyambut penonton dari dalam dan luar negara.
“Tahun ini, kami menjangkakan kira-kira 30,000 pelancong luar negara untuk perlumbaan tahun ini. Justeru itu, kami merencanakan pelan keselamatan, aliran trafik, logistik dan penguatkuasaan yang mantap bagi memastikan kelancaran acara tahun ini.
“Perlumbaan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix ini adalah satu agenda nasional dan antara acara pelancongan utama yang dianjurkan oleh Malaysia. Justeru itu, kami di SIC amat komited untuk memastikan perjalanan perlumbaan ini berjalan dengan baik dan cemerlang,” kata Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali.
Diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1991 dan mula dianjurkan di SIC pada 1999, Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018 adalah edisi yang ke-28 dalam sejarah negara dan yang paling hebat setakat ini dengan penyertaan pelumba negara dalam setiap kategorii perlumbaan.
Dengan pelumba PETRONAS Sprinta Racing Team, Adam Norrodin dalam kelas Moto3, Malaysia turut mempunyai wakil dalam Moto2 dengan Khairul Idham Pawi dari IDEMITSU Honda Team Asia dan Hafizh Syahrin Abdullah beraksi di kelas perdana MotoGP bersama-sama pasukan Monster Yamaha Tech 3.
Di samping itu, Jalur Gemilang akan turut dikibarkan pada saingan IDEMITSU Asia Talent Cup, yang diletakkan sebagai perlumbaan sokongan dan pusingan terakhir untuk musim 2018. Para pelumba negara yang bakal bersaing pada kejohanan berprestij ini adalah Danial Sharil dan Ibrahim Pawi – adik kepada Khairul Idham.
Seperti tahun-tahun lepas, anggota PDRM akan memikul tanggungjawab terbesar dalam keselamatan, ketenteraman awam dan aliran trafik termasuk perkhidmatan bas awam perantara dari Kuala Lumpur dan KLIA2, yang disediakan oleh Rapid KL.
Para pegawai Kementerian Kesihatan akan diletakkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh fasiliti SIC bagi memastikan kesihatan awam termasuk penyediaan perkhidmatan pertolongan cemas dan penguasaaan larangan merokok di litar berkenaan.
Dengan jumlah kedatangan tetamu luar negara yang tinggi, Jabatan Imigresen akan menyediakan laluan khas di KLIA bagi membantu kelancaran dalam kemasukan khususnya para pegawai perlumbaan dari Dorna dan Persekutuan Lumba Motosikal Antarabangsa atau FIM, serta pasukan-pasukan perlumbaan.
Kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan Akta Hak Cipta akan diuruskan oleh para pegawai KPDNKK manakala Majlis Daerah Sepang pula akan membuat pemantauan untuk penguatkuasaan penjaja haram.
Pelbagai agensi lain akan turut menjalankan tanggungjawab untuk melancarkan acara tersebut.
No comments:
Post a Comment