Kemenangan manis Afif di laman sendiri

Pelumba tuan rumah mempamerkan aksi cemerlang di halaman sendiri apabila berjaya menguasai dua kategori utama Perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
 Pelumba kelahiran Dungun, Ahmad Afif Amran berjaya muncul juara kategori CP150 dan turut menamatkan penantian untuk meraih gelaran juara di halaman sendiri sepanjang penglibatan di Kejuaraan Cub Prix bermula tahun 2009.
 Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu mempamer aksi bertenaga apabila mendahului keseluruhan 20 pusingan perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 13’40.445s meskipun diberi tentangan sengit pada penghujung perlumbaan oleh Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju).

Akid menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 13’40.542s diikuti rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayuddin ketiga dengan masa 13’44.347s.
 “Perlumbaan ini sangat sukar walaupun saya mendahului keseluruhan perlumbaan. Kasma memberi tentangan sengit dan sentiasa cuba memintas pada awal perlumbaan. Selepas berjaya menjarakkan diri setelah dia melakukan kesilapan, Akid pula mengejar sehingga berjaya merapatkan kedudukan pada penghujung perlumbaan. Saya terpaksa bekerja keras dan mengerah pengalaman yang ada untuk mempertahankan kedudukan,” jelas Afif.
 25 mata yang dipungut pada hari ini meletakkan Afif terus selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 160 mata, 49 mata mengatasi Kasma di kedudukan kedua dengan 111 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di tangga ketiga dengan 103 mata.
 KEPUTUSAN PUSINGAN 7, KUALA TERENGGANU

CP150

1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 13:40.445s

2 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:40.542s

3 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:44.347s

4 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 13:44.967s

5 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:45.280s



Kedudukan Keseluruhan

1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 160 mata

2 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 111 mata

3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 103 mata

4 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 73 mata

5 Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 51 mata