Dua podium berturut-turut dalam saingan kelas CP115 menjadi bekalan positif buat Md Syafiq Rosli untuk menghadapi pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 dan 28 Oktober ini.
Pelumba Elf Koyoko Honda KC Racing itu muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan keenam di Perlis dan pusingan lepas di Terengganu yang menyaksikannya muncul pelumba tunggal memacu jentera Honda ke pentas podium.
"Pada peringkat awal musim, prestasi saya tidak begitu konsisten apabila sekadar menamatkan saingan di kelompok pertengahan. Namun keadaan semakin baik pada penghujung musim ini dan saya berharap dapat mengekalkan momentum serupa di Batu Kawan nanti," jelas Syafiq.
Selepas tujuh perlumbaan, Syafiq kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan 59 mata namun tidak mampu mencabar takhta keseluruhan yang kini dipegang oleh Tengku Amirul Haffirudin dengan 163 mata ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi.
"Peluang untuk mengejar gelaran pendahulu memang sudah tertutup tapi saya berharap dapat menyekat Tengku Amirul daripada terus memenangi perlumbaan, atau setidak-tidaknya dapat memperbaiki kedudukan ketika ini dan dapat berada di atas podium lagi.
"Mudah-mudahan pasukan sekali lagi dapat membekalkan jentera terbaik kepada saya kerana bukan mudah untuk saya menyekat penguasaan barisan-barisan pelumba Yamaha yang menguasai perlumbaan musim ini tanpa bantuan pelumba Honda yang lain dan jentera yang terbaik."
No comments:
Post a Comment