Mohd Helmi Azman semakin hampir untuk menjulang
gelaran keseluruhan pertama dalam karier perlumbaannya menjelang perlumbaan
pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu yang akan berlangsung di
Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada hujung minggu ini.
Selepas lima pusingan, pelumba SCK Rapido Hi Rev
Honda Racing itu kini berkelebihan 42 mata di tangga teratas senarai
keseluruhan Underbone 150cc. Pelumba berusia 19 tahun itu kini mengumpul 164
mata diikuti rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing)
dengan 122 mata.
Seorang lagi pelumba negara, Ahmad Fazli Sham
(ONEXOX TKKR Racing) di kedudukan ketiga dengan 96 mata. Ini bermakna, gelaran
juara keseluruhan Underbone 150cc akan terus kekal di Malaysia setelah
dimenangi oleh Mohd Akid Aziz pada musim lepas.
Dengan baki dua perlumbaan, Helmi hanya perlu
mengumpul sembilan mata atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di kedudukan
ketujuh dalam mana-mana perlumbaan bagi mengesahkan gelaran selaku juara
keseluruhan Underbone 150cc musim 2018.
“Saya perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh
memandang mudah saingan minggu ini. Walaupun hanya perlu mengumpul sembilan
mata sahaja lagi, saya tetap akan memberikan yang terbaik dan mahu menamatkan
perlumbaan di atas podium,” jelas Helmi.
No comments:
Post a Comment