Pengurus pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin percaya pasukannya tetap akan tampil dengan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utama, Md Danial Syahmi dalam saingan WIRA KBS pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.
Danial
yang ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan berkongsi 133
mata bersama pendahulu, Md Syarifuddin Azman terpaksa melupakan
perlumbaan minggu ini kerana sedang menjalani rawatan akibat kemalangan
sewaktu perlumbaan Idemitsu Asia Talent baru-baru ini.
Bagaimanapun
Ahmad Fuad yakin pelumba-pelumbanya yang lain seperti Harith Haziq
Zamri, Danel El Fahim, dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan
cabaran dan seterusnya dapat menamatkan saingan di atas podium.
"Memang
satu merugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan juga
kerugian kepada dirinya sendiri. Namun begitu, situasi ini tidak boleh
dielakkan dalam dunia perlumbaan. Apa sahaja boleh berlaku. Kami doakan
dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuk dia bangkit lebih kuat
pada masa akan datang," jelas Ahmad Fuad.
"Harith
merupakan antara pelumba yang pernah menaiki podium pada musim ini
meskipun penggal pertama dia beraksi dalam kategori WIRA KBS. Tidak
mustahil dia mampu mengulanginya pada minggu ini."
Mengulas
kekosongan yang ditinggalkan Danial, Ahmad Fuad berkata, "Kami tidak
menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain cuma pada minggu ini,
pelumba CP115 kami, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS.
Dengan pengalaman beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini,
tidak mustahil dia mampu menempatkan diri di atas podium."
No comments:
Post a Comment