Tengku Amirul Haffirudin tidak memandang mudah saingan Pusingan 9
Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan pada 17 dan
18 November ini, sekalipun sudah mengesahkan status sebagai juara keseluruhan
kelas CP115.
Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu sebaliknya terus
dahagakan kemenangan sekalipun telah bergelar juara lebih awal setelah
mengumpul 188 mata hasil dari tujuh kemenangan dan satu di tempat keempat
sepanjang lapan pusingan lepas jauh mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez
di kedudukan kedua dengan 116 mata. Selain gelaran keseluruhan individu, pasukan Motul Zeneos
Yamaha YY Pang turut mengesahkan status sebagai juara keseleluruhan berpasukan
dengan mengumpul 304 mata ketika ini.
“Misi saya adalah untuk terus meraih kemenangan pada baki
dua perlumbaan terakhir musim ini, dan pada masa sama merancang strategi untuk
membantu Fareez kekal di tangga kedua keseluruhan ketika ini,” jelas Tengku
Amirul.
“Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan, ini tidak
bermakna saya memandang mudah saingan minggu ini, sebaliknya saya mempunyai
misi untuk menamatkan musim ini dengan sembilan kemenangan.”
Menurut pemilik pasukan, Pang Yoke You (YY Pang), Tengku
Amirul akan kekal beraksi dalam saingan CP115 pada baki dua perlumbaan terakhir
musim ini. “Kami mahu dia terus bersaing merebut kemenangan. Tentang saingan
kelas CP150, semuanya akan diputuskan kemudian, bukannya ketika ini.”
No comments:
Post a Comment