Harga petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat beberapa hari ini

Kerajaan Persekutuan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan. PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyuarat pada 2 Januari 2019, dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan diperolehi ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum. YAB Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat.
Oleh demikian, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing adalah dikekalkan buat masa beberapa hari ini, pada paras RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel. Penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat. Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera. Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi. Pengekalan harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran.
Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
31 Disember 2018

No comments: