Remaja-remaja berusia antara 13 hingga 22
tahun ini telah dipilih melalui program pencarian bakat di sebanyak 22 lokasi
seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersama-sama Kementerian
Belia dan Sukan Malaysia dengan pelumba Grand Prix dunia pertama Malaysia,
Shahrol Yuzy Ahmad Zaini bertindak sebagai mentor program dan dibantu oleh
juara Asia SuperSports 600cc dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman.
“Dengan kerjasama bersama Kementerian Belia
dan Sukan, program Klinik Cub Prix KBS ini telah menemui golongan remaja dari
pelbagai lapisan masyarakat di 22 kawasan seluruh negara dan kami telah menguji
sekitar 2200 peserta sebelum menyenaraikan 48 remaja terbaik termasuk yang
diterbangkan dari Sabah dan Sarawak untuk ke sesi pemilihan akhir minggu ini,”
jelas mentor program Klinik Cub Prix KBS, Shahrol Yuzy.
“Daripada 48 pelumba ini, enam daripadanya
akan menerima slot automatic berserta biasiswa penuh untuk beraksi dalam
saingan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019 nanti. Ia merupakan
program pencarian bakat dan pemilihan terbesar serta paling komprehensif yang pernah
dikendalikan oleh Cub Prix.”
Tambahnya, “Sambutan yang kami terima sangat
menggalakkan dan remaja yang kami temui begitu teruja dan berminat dengan
peluang sebegini dan saya harapkan program bersama diantara Cub Prix dan KBS
ini akan diteruskan pada masa akan datang. Sukan permotoran ini merupakan sukan
yang sangat khusus dan adakalanya tidak dapat dirasai oleh sebahagian mereka di
luar sana. Siri Klinik ini sangat efektif dan berkesan kerana kami membawakan
sukan ini dekat kepada mereka dan orang ramai dan momentum yang dibina
sepanjang tahun 2018 ini perlu diteruskan.”
No comments:
Post a Comment