Proton X70 dilancarkan bermula RM99,800

Setelah sekian lama dinanti, akhirnya SUV premium pertama dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia iaitu. Proton X70 selamat dilancarkan. X70 adalah model pertama yang dihasilkan bersama oleh PROTON dan Geely ini juga telah membawa PROTON ke segmen pasaran baharu dan bertindak sebagai pemangkin untuk memberi nafas baharu kepada jenama tersebut.

PROTON X70 ini telah  dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Butiran penuh SUV tersebut telah dikongsikan pada majlis itu termasuk harga jualan, pakej servis, pembiayaan
dan waranti.
"Proton X70 adalah hasil kerja keras lebih setahun oleh jurutera, pereka bentuk dan beratus-ratus pekerja PROTON dan Geely yang lain yang bekerjasama untuk membangunkan SUV premium pertama oleh pengeluar kereta Malaysia. PROTON 
berbangga dengan pencapaian ini dan kami percaya bahawa pembeli kereta Malaysia akan turut sama berbangga memiliki 
SUV ini yang akan membantu mengubah jenama Proton. Dengan lebih 10,000 tempahan yang diterima, ia menunjukkan satu permulaan yang baik, justeru, kami akan berusaha dengan lebih lagi untuk menghasilkan produk dan jenama seperti yang dijanjikan," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

"Penyerahan Proton X70 akan bermula pada minggu-minggu akan datang kerana Syarikat mahu pelanggan mendapatkan 
kereta mereka secepat mungkin. Ada di antara mereka yang telah menunggu lebih dari enam bulan, dengan memberikan 
nama kepada pengedar sebelum tempahan dibuka secara rasmi, jadi, PROTON berterima kasih atas kesabaran dan 
kesetiaan mereka terhadap Syarikat,” tambahnya.
Untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Proton X70, pakej nilai tambahan istimewa telah diumumkan pada majlis 
pelancaran ini. Dinamakan sebagai pakej Xtra, pakej ini melibatkan empat perkara yang berbeza. Pakej Servis Xtra menawarkan alat ganti dan kos pekerja secara percuma untuk servis yang pertama serta kos pekerja percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000km atau lima tahun. Selain itu, terdapat juga Pakej Pembiayaan Rendah Xtra, yang menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34% p.a. untuk pembeli yang berkelayakan.
PROTON akan menjadi jenama automotif kebangsaan pertama menawarkan jaminan perbatuan tanpa had di mana Pakej 
Perlindungan Waranti Xtra akan melindungi Proton X70 selama lima tahun tanpa mengira jarak perbatuan. Akhir sekali, untuk memastikan pemilik menikmati pengalaman sambungan premium, Pakej Data Xtra menawarkan data internet percuma selama lima tahun (dihadkan pada 1GB sebulan).
"Pakej Xtra yang diberi akan meningkatkan pengalaman para pemilik dengan menawarkan kemudahan, penjimatan untuk servis, pembiayaan serta data percuma. PROTON juga akan mencipta sejarah dengan menawarkan Proton X70 pada satu harga bagi satu negara. Ini bermakna, pembeli kereta di Timur dan Barat Malaysia akan membayar harga yang sama untuk model yang sama, menjadikan PROTON jenama automotif pertama menawarkan tawaran sedemikian. Harapan kami dengan langkah ini, PROTON membuktikan bahawa produk Malaysia boleh ditawarkan pada harga yang sama untuk semua rakyat Malaysia tanpa 
mengira lokasi tempat tinggal mereka,” tambah Dr Li Chunrong.



No comments: