Yamaha MT09 2018 terima banyak peningkatan

 Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mula memperkenalkan model Yamaha MT-09 empat tahun lepas dan juga memperkenalkan model pemasangan dalam negara pada penghujung tahun 2014. MT09 merupakan siri model motosikal berkuasa tinggi kedua yang dipasang dalam negara di kilang Yamaha di Sungai Buloh selepas siri XJ yang terdiri dari model XJ6, XJ6 Diversion dan XJ6 Diversion F. Yamaha MT-09 merupakan model perdana HLYM dalam barisan model berkuasa tinggi mereka dan jentera 'Master Of Torque' ini merupakan konsep baru dalam reka bentuk keseluruhan motosikal sukan. Dari awal lagi Yamaha berhasrat untuk bukan sahaja menyampaikan sekadar sebuah lagi motosikal umum dari Jepun, tetapi sebagai sesuatu yang berbeza dan berdaya tarikan di dalam ciri ciri nya. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa  siri MT mula diperkenalkan dengan penampilan MT-01 pada tahun 1999 lagi.
 Salah satu topik yang paling banyak dibahaskan di kalangan penunggang adalah persoalan mengenai konfigurasi enjin motosikal yang paling sempurna untuk penunggang jalanan. Namun memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang akan bersetuju, walaupun dengan berat hati, bahawa konfigurasi enjin tiga-silinder adalah sesuatu yang berlainan dan amat menarik.
 Yamaha menghargai hakikat ini dan membekalkan jentera MT-09 ini dengan enjin 850 cc tiga-silinder dengan tork yang tinggi, berbekalkan kuasa 115hp yang berdaya 87,5 Nm sebagai jentera prestasi generasi baru yang direka untuk penunggang yang menghargai pecutan cemerlang. Ia menghasilkan daya kilas atau tork yang sekata atau linear bagi memberi pecutan penuh sensasi bagi memuncakkan aliran adrenalin ke jantung anda. Ia dikawal pendikit kawalan-dengan-wayar (fly-by-wire) dengan 3 mod menunggang, walaupun ramai pada mulanya mungkin mendapati dua mod awal adalah agak tangkas dan agresif untuk keselesaan menunggang dalam bandar, dan memerlukan sedikit penyesuaian diri.


 MT-09 ini didatangkan dengan casis yang padat bagi mendapatkan gabungan konsep keseluruhan yang segar sebagai sebuah motosikal sports. Tangkas dikendalikan, motosikal dinamik gaya motard ini dilengkapi dengan casis aluminium padat dan kedudukan menunggang tegak yang memudahkan tunggang harian dalam bandar mahupun tunggangan bebas santai mahupun tangkas pada hujung minggu.
 Tidak banyak perbezaan dibuat bagi model 2018 ini kepada kedudukan menunggang jentera yang agak kurus dan mudah dikendalikan ini. Perkara pertama yang anda sedari mungkin pelana berbentuk segi tiga: menirus di hadapan dan berkembang luas di belakang. Ia memudahkan capaian kaki kaki ke tanah semasa berhenti. Pembonceng motosikal anda juga akan menghargai bentuk pelana belakang yang tampak kecil tetapi cukup untuk menampung mereka dengan selesa.

Suspensi hadapannya kini bolehlaras sepenuhnya, dan sistem breknya kini dilengkapi ABS sebagai peralatan standard. Gantungan belakang monocross dengan penyerap-kejutan mendatar boleh disesuaikan dengan pelarasan mekanikal pra-bebanan spring yang maksimum untuk mengelakkan bahagian belakang dari membuai pada kelajuan tinggi.

Kotak gear nya kini dilengkapi dengan cekam atau klac gelincir dan berbantu (assisted & slipper clutch ASC) yang mengurangkan daya usaha yang diperlukan untuk operasi tuil klac, dan menghalang gelinciran roda belakang semasa penurunan gear yang mendadak. Selain turut dilengkapi kawalan daya cengkaman (traction control), ia juga kini dilengkapi pengalih gear tangkas (quickshifter), bagi memudahkan dan mempecepatkan peralihan gear dua dan ke atas selepas 2,500 rpm.
 Yamaha MT-09 ini diringankan dengan penggunaan kerangka aluminium tetuang CF yang nipis dan ringan, piston aluminium tempaan dan rim aloi ringan 10-jejari yang bergaya. Tidak hairanlah MT-09 adalah se ringan itu, dan ini secara efektif akan menyumbang secara positif kepada nisbah kuasa-ke-berat dan meningkatkan kecekapannya.

Kedatangan MT-09 merupakan lebih daripada sekadar lembaran baru dalam evolusi Yamaha. Ia adalah gelombang siri jentera 3-silinder motard yang menawarkan alternatif baru yang menarik untuk penunggang yang memahami keluk tork bermakna.
 Model 2018 ini dilengkapi lampu utama LED dari jenis projektor yang menyerupai lampu MT-10. Lampu belakangnya juga kini dari jenis LED yang disusun dalam dua baris.

Dua warna awal bagi 2018 iaitu kelabu Night Fluo dan hitam Tech Black ditawarkan dalam tahun ini pada harga RM47,388 termasuk GST. Jika dikira peningkatan yang telah dilakukan pada model 2018 ini, iaitu suspensi hadapan bolehlaras, serta brek antikunci ABS, kawalan daya cengkaman (traction control) dan pengalih gear tangkas (quickshifter) sebagai peralatan standard, yang mana kesemua ini benar benar memberikan lebih nilai dengan harganya yang tidak banyak naik berbanding model terdahulu.


SPESIFIKASI

ENJIN 3-Silinder, 4-lejang, sejukan Cecair, DOHC, 4-injap

SESARAN 847 cc

GEREK X LEJANG 78.0 mmX 59.1 mm

NISBAH MAMPATAN 11.5: 1

KUASA MAKSIMA 115hp (84.6 kW) @ 10,000 rpm

TORK MAKSIMA 87.5 Nm (8.9 kg-m) @ 8,500 rpm

SISTEM LUBRIKASI Wet Sump

KLAC Berbilang, basah

SUAPAN Suntikan Bahan Api

NYALAAN TCI

PENGHIDUP Elektrik

KOTAK GEAR 6-kelajuan

HANTARAN AKHIR Rantai

KERANGKA Bentuk permata

SUSPENSI HADAPAN Tupang teleskopik kembar, pergerakan 137 mm

SUDUT CAPAI 25 °

SUSPENSI BELAKANG Lenganayun berhubung

PERGERAKAN SUSPENSI BELAKANG 130 mm

BREK HADAPAN Cakera kembar Ø 298 mm

BREK BELAKANG Cakera tunggal Ø 245 mm

TAYAR HADAPAN 120 / 70ZR17 M / C (58W) (Tubeless)

TAYAR BELAKANG 180 / 55ZR17 M / C (73W) (Tubeless)

PANJANG 2.075 mm

LEBAR 815 mm

TINGGI 1.120 mm

TINGGI PELANA 820 mm

TAPAK RODA 1.440 mm

KELEGAAN BUMI 135 mm

BERAT BASAH 193 KG bahanapi penuh

KAPASITI TANGKI BAHANAPI 14 L

JUMLAH MINYAK PELINCIR 3.4 L

Prestasi VR46 setakat ini

Mari kita imbas kembali prestasi Valentino Rossi yang telah menyambung kontraknya bersama Yamaha untuk dua tahun lagi.
Umur 39 tahun
12 musim bersama Yamaha
365 kali berlumba dalam semua kelas
56 kali menang dengan Yamaha
Juara bertutur MotoGP 4 kali
305 kali berlumba dalam kelas perdana
206 kali berlumba untuk Yamaha
134 podium untuk Yamaha
Juara dalam perlumbaan pertama kali dengan Yamaha di Welkom, 2004
273 kali bermula dalam MotoGP
230 berlumba berturut turut
5 kali juara kelas perdana berturut turut untuk Yamaha
11 kemenangan untuk Yamaha dalam tahun 2005
227 kali menaiki podium dalam semua kelas
Menawan 11% dari kemenangan GP Yamaha
100% menaiki podium dalam musim 2003
Menang GP unyuk Yamaha sekurang kurangnya sekali dalam setiap musim
Meraih 5,875 mata keseluruhan dalam semua kelas
191 kali podium kelas perdana
6 kali memenangi Monza Rally Show
5 jenis motosikal kelas perdana
Melengkapkan 25 musim perlumbaan menjelang 2020