Jentera Premium Sedan berprestasi tinggi BMW M5 yang baharu diperkenalkan BMW Group Malaysia hari ini. Ia menawarkan Dinamik Pemanduan yang Luar Biasa untuk kegunaan harian dan ia juga mempunyai keupayaan pemanduan yang memberangsangkan di litar sebenar.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, “Keterujaan kami terhadap BMW M telah disemarakkan sejak empat puluh tahun yang lalu; legasi kenderaan ini diteruskan dan diperbaharui oleh individu yang membuahkan semangat dan minat mereka terhadap bidang permotoran dengan menghasilkan pengalaman pemanduan kenderaan luar biasa yang dibuktikan melalui BMW M5 – jentera yang telah lama melakar sejarah sebagai sedan premium berkuasa tinggi. BMW M5 masih menguasai segmen kenderaan seumpamanya dan ia menunjukkan tahap kemahiran kejuruteraan dan inovasi pemanduan pintar yang telah diterapkan di dalam kenderaan tersebut.”
Jentera terbaharu BMW M5 ini juga telah meraih beberapa gelaran seperti ‘World Performance Car 2018’ di New York International Motor Show 2018, ia juga merupakan kemenangan BMW yang ketujuh bagi Anugerah Kereta Dunia daripada organisasi ‘World Car of the Year’.
Sedan serba mewah dan berprestasi tinggi ini juga berjaya merangkul dua Rekod Dunia Guinness untuk jarak drift paling jauh dan untuk aksi jarak drift paling jauh melibatkan dua kereta. Ia telah berjaya dicatat oleh pemandu BMW, Johan Schwartz yang melakukan aksi drift sepanjang 374.2 kilometer di atas litar skid pad, sekaligus memecahkan rekod dunia baharu untuk jarak drift yang paling jauh dalam masa lapan jam. "Schwartz kemudiannya telah berkolaborasi dengan Ketua Pengajar Pemanduan dari BMW Performance Centre, Matt Mullins untuk melakukan aksi drift kereta secara berkembar untuk jarak sepanjang 79.3 kilometer dalam masa satu jam,” ujar Hoelzl.
Buat pertama kalinya, BMW M5 menampilkan kuasanya melalui sistem pacuan semua roda M xDrive yang dilengkapi dengan pelbagai mod dan boleh disesuaikan mengikut kehendak pemandu. Kepelbagaian mod (4WD, 4WD Sport, 2WD) kenderaan ini meningkatkan dinamik pemanduan ke tahap yang baharu. Mod 2WD misalnya, boleh menukar tetapan pemanduan kepada pacuan roda belakang untuk pengalaman pemanduan yang terbaik.
Reka bentuk trim bampar hadapan yang terbaharu dengan kemampuan penyerapan udara yang lebih tinggi ditugaskan untuk memastikan sistem penyejukan dan brek kenderaan ini dibekalkan dengan udara penyejukan yang secukupnya, terutama apabila ujian yang sebenar dilakukan di atas litar perlumbaan.
Bonet kenderaan ini dihasilkan menggunakan aluminium yang merangkumi ukiran skulptur yang menarik dan diunjurkan secara visual untuk membentuk bahagian bumbung kenderaan tersebut. Bumbungnya pula dirumus daripada bahan plastik yang dikukuhkan oleh carbon fibre-reinforced plastic (CFRP) yang ringan lagi utuh.
Peresap (diffuser) yang terletak di bahagian belakang kenderaan ini juga telah diubah suai. Bersama dengan skirt sisi, ‘M rear apron’ serta ‘M rear spoiler’ kenderaan ini memainkan peranannya untuk memberikan jentera BMW M5 terbaharu ini rupa serba ‘sporty’nya dan tampil lebih berkuasa. Cermin luaran kenderaan ini pula mempunyai reka bentuk M yang dinamik dan khusus. Komponen penyerapan udara sentral yang berbentuk heksagon di bahagian hadapan dipisahkan dari penyerap udara yang terletak di bahagian sisi, dan ia juga mempunyai keupayaan penyejukan minyak, lantas membuktikan reka bentuk kenderaan ini yang bertemakan kefungsian.
Kuasa pemanduan yang menakjubkan serta keselesaan pecutan yang luar biasa didatangkan oleh enjin V8 4.4 liter yang mengguna pakai teknologi BMW M TwinPower Turbo yang kini lebih berkuasa; di samping itu, keupayaan unit ligatan BMW M5 ini mampu menjana 600 kuasa kuda (hp) pada tahap 5,600 hingga 6,700 rev per minit (rpm), sementara keupayaan torknya mencapai 750 Newton meter (Nm) dengan hanya tahap rpm setinggi 1,800, dan bacaan tork pada tahap tersebut dapat dikekalkan sehingga rpm mencecah 5,600. Secara perbandingannya dengan model yang dikeluarkan sebelum ini, tahap tork maksimum kenderaan ini telah ditingkatkan sebanyak 70 Nm. Keupayaan enjin kenderaan ini juga boleh diubah dengan hanya menekan butang yang disediakan dan ia membolehkan pemandu memilih tetapan sedia ada, iaitu ‘Efficient’ atau tetapan yang lain seperti ‘Sport’ atau ‘Sport Plus’ yang berupaya menjana tindak balas yang lebih berkesan ketika memecut.
Prestasi kenderaan ini yang memberangsangkan tidak terhad kepada ciri-ciri yang telah dinyatakan di atas; jentera BMW M5 terbaharu juga berupaya untuk memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.4 saat sahaja. Penambahbaikan yang lain turut diusahakan oleh jurutera BMW M untuk memberikan enjin V8 turbo berkembar ini keupayaan yang luar biasa. Ini termasuk pengecas turbo baharu dengan tekanan injeksi maksimum yang lebih tinggi iaitu pada tahap 350 bar; ia berupaya untuk menyingkatkan jangka masa injeksi dan menambahbaik proses pengatoman supaya respon enjin menjadi lebih cekap dan penyediaan sebatian bahan enjin menjadi lebih efisien.
Penambahbaikan yang lain termasuk aspek pelinciran dan sistem penyejukan, termasuk tempat takungan minyak dan teknologi penyejukan enjin yang mana kesemuanya melangkaui keupayaan model terdahulu walaupun jentera baharu ini menggunakan saiz ruangan yang lebih kecil. Sistem pembekalan minyak jentera ini juga menggunakan pam pemalar yang boleh dikawal dan ia dirumus khas untuk kegunaan di atas litar perlumbaan – sistem ini dapat menangani tahap pemecutan longitud dan lateral yang tinggi dengan baik.
Tambahan lagi, kuasa turbo berkembar V8 jentera ini disalurkan di atas jalan raya melalui sistem pacuan semua roda iaitu M xDrive. Kebolehan ini dapat dicapai dengan penggunaan roda hadapan apabila roda belakang tidak dapat menjana kuasa yang mencukupi dan juga ketika cengkaman yang lebih tinggi diperlukan. Keadaan ini membolehkan jentera ini dikawal dengan lebih mudah lantas memberikan pemandu sebuah pengalaman pemanduan kenderaan sedan yang cukup luar biasa.
Bagi pemandu yang mahukan lebih daripada itu, tetapan M xDrive boleh dikonfigurasi pada bila-bila masa mengikut keperluan mereka. Pemandu boleh memilih lima jenis tetapan yang berdasarkan kombinasi mod Dynamic Stability Control (DSC) yang terdiri daripada DSC on, MDM dan DSC off; serta mod M xDrive yang terdiri daripada 4WD, 4WD Sport dan 2WD.
Dalam tetapan yang paling asas, iaitu DSC dengan pengaktifan mod 4WD, sistem tersebut membolehkan tahap gelinciran pada bilangan yang tertentu melalui roda belakang ketika memecut di selekoh, lalu menjadikan jentera BMW M5 ini lebih lincah. Dalam mod M Dynamic (MDM, 4WD Sport), M xDrive membolehkan gelinciran mudah yang terkawal. Ketiga-tiga mod M xDrive dengan DSC off dapat memenuhi kemahuan pemandu yang berminat untuk menggunakan kereta tersebut di atas litar. Pemandu boleh memilih tiga tetapan termasuk pacuan roda belakang sepenuhnya (2WD). Mod ini membolehkan pemandu memilih sudut gelinciran yang mereka mahukan dan memberikan kelebihan pemanduan yang dinamik.
Kuasa kenderaan ini dijana melalui transmisi lapan kelajuan M Steptronic yang dilengkapi dengan Drivelogic, ia dioperasikan secara sekuen dengan teknologi pemilih gear pendek terbaharu dalam mod ‘S’, atau secara manual melalui padel yang terletak di stereng memandu. Butang ‘D’ membolehkan pemandu memilih antara 3 mod Drivelogic yang disediakan; Mod 1 adalah untuk pemanduan yang efisien dan selesa, Mod 2 adalah untuk penyingkatan masa penukaran gear, dan Mod 3 adalah untuk penyingkatan masa penukaran gear yang lebih ekstrem bagi konfigurasi perlumbaan. Jangka masa penukaran gear yang pendek dan nisbah jarak yang optimum akan memastikan pemanduan yang memuaskan. Nisbah luas yang terletak pada unit lapan kelajuan M Steptronic juga membantu dalam mengekalkan keefisienan penggunaan minyak yang optimum.
Pasukan yang menala dan melaraskan casis BMW M5 hanya mempunyai satu matlamat – pemanduan dinamik yang tiada tandingannya serta kestabilan yang maksimum. Perihal ini dibuktikan di litar perlumbaan syarikat pengeluar kenderaan ini sendiri yang terletak di Miramas, Perancis serta di litar ujian yang paling mencabar, iaitu NĪrburgring Nordschleife.
Elemen penegangan yang canggih di bahagian hadapan dan belakang badan kenderaan memastikan jentera ini mempunyai struktur yang teguh dan kukuh. Di samping itu, pemandu juga boleh memilih mod seperti ‘Comfort’, ‘Sport’ dan ‘Sport Plus’ bagi sistem ‘Variable Damper Control’ (VDC) yang mempunyai ‘M-specific tuning’ dan stereng ‘M Servotronic’. Kedua-dua butang M1 dan M2 yang terletak pada stereng berkulit ‘M’ boleh digunakan untuk mengaktifkan 2 tetapan yang boleh dikonfigurasi dan disimpan untuk pengaktifan segera. Tetapan tersebut meliputi kombinasi pilihan enjin, transmisi, suspensi, mod M xDrive, mod DSC dan tetapan Head-Up-Display. Tetapan yang dimahukan boleh diaktifkan dengan hanya menekan butang yang disediakan.
Jentera terbaharu BMW M5 dilengkapi dengan brek kompaun ‘M’ standard yang lebih ringan berbanding brek versi berwarna kelabu yang konvensional, ini bermakna berat kenderaan tersebut juga dapat dikurangkan. Dengan cat berwarna biru pada enam piston angkup yang ditetapkan di bahagian hadapan serta satu piston angkup bebas di bahagian belakang kenderaan tersebut; juga dengan kewujudan liang, cakera brek yang berlohong – brek kompaun ‘M’ mempunyai kuasa untuk memenuhi potensi dinamik kenderaan ini.
Sebagai pilihan alternatif, BMW Group Malaysia menawarkan penaikan taraf dengan Brek Seramik Karbon ‘M’ yang didatangkan dengan angkup berwarna emas. Brek Seramik Karbon ‘M’ juga dapat menurunkan berat kenderaan ini sebanyak 23 kilogram, lantas memberikan kenderaan ini kelebihan nyahpecutan dan pada masa yang sama, kadar kelusuhan juga dapat dikurangkan.
Penawaran standard bagi pilihan roda untuk BMW M5 ialah roda beraloi ringan M Double-Spoke style 706M 20”.
Jentera terbaharu BMW M5 menetapkan standard yang tinggi untuk segmen sedan eksekutif. Ini merangkumi konsep maklumat hibur (infotainment) serta kefungsian luar biasa yang didatangkan dengan ciri-ciri BMW Navigation Professional 10.25” yang mempunyai keupayaan Paparan Sentuh, BMW Head-Up Display yang disertakan dengan M-Specific Content, dan sistem Bantuan Pemandu BMW (BMW Driver Assistance) menyeluruh yang merupakan sebahagian daripada kefungsian BMW ConnectedDrive.
Kesemua suis dan butang boleh dioperasikan dengan keselesaan yang ergonomik, serta kesemua kefungsian BMW M5 terletak di tempat yang mudah dilihat dan dicapai oleh pemandu. Kluster instrumen digital besar yang mempunyai reka bentuk ‘M-specific’ memastikan pemandu dimaklumkan tentang status mod pemanduan dinamik, tetapan sistem pacuan semua roda M xDrive dan keaktifan opsyen Drivelogic.
Bagi pemandu yang ‘sporty’, indikator pra-amaran pemalar putaran per minit (rpm) serta indikator penukaran gear akan menunjukkan waktu yang terbaik untuk menukar gear ketika menggunakan mod penukaran gear manual; indikasi ini yang boleh dipaparkan di M-specific Head-Up Display. Kesemua sistem dinamik pemanduan kenderaan ini boleh dikonfigurasi menggunakan paparan sentuh sentral, butang di konsol sentral atau di steering M sports, dan paparan informasi sentral tersebut menawarkan kelebihan seperti Kawalan Gerak Isyarat. Deruman BMW M5 dapat didengar dengan menekan butang merah yang disediakan untuk menghidupkan enjin kenderaan ini.
Jentera terbaharu BMW M5 juga didatangkan dengan tempat duduk standard ‘M multifunction’ yang disulam dengan kulit Merino, sekali gus meningkatkan lagi tarikan kemewahan kenderaan ini. Pemandu dan penumpang di tempat duduk hadapan juga dapat menikmati penyesuaian tempat duduk multifungsi, dan aspek yang paling menonjol ialah integrasi visual dan ukiran designasi ‘M’ pada penyandar kepala untuk menampilkan keistimewaan kenderaan sedan premium ini oleh BMW M. Pilihan tempat duduk dan upholsteri termasuk kombinasi tona dua warna iaitu ‘Aragon/Black’ dan ‘complete Black’ yang dipadankan dengan trim dalaman yang mempunyai struktur Karbon Aluminium dengan gilapan Krom Gelap.
Perlengkapan tambahan bagi peningkatan kemewahan.
BMW Malaysia juga menawarkan pilihan menaik taraf dari penawaran yang asas untuk jentera BMW M5 melalui Pek Prestasi (Performance Pack), Pek Keselamatan Lanjutan (Advance Safety Pack) dan Pek Hiburan (Entertainment Pack).
BMW M5 boleh didapati dengan pelbagai pilihan warna luaran – ‘Marina Bay Blue metallic’, ‘Donington Grey metallic’ dan ‘Singapur Grey metallic’. Jentera terbaharu BMW M5 akan ditawarkan melalui pengedar-pengedar sah BMW di seluruh negara bermula hari Jumaat, 1 Jun 2018.
Pembeli BMW M5 juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia dan ia merangkumi:
• Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.
• Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre.
• Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW.
• Aplikasi Mudah Alih BMW Group Loyalty+ – BMW White Card Elite.
• Servis Atas Talian oleh BMW.