Salah satu cara yang kita semua ketahui bagi meningkatkan kuasa enjin ialah dengan mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh enjin sewaktu ia nya beroperasi. Selain bebanan dari geseran enjin yang mampu ditangani dengan pengunaan minyak pelincir yang baik, sistem penjanaan kuasa elektrik juga menyumbang kepada beban enjin dan mempu mengurangan kuasa yang dikeluarkan. Jika anda pernah menghidupkan enjin janakuasa untuk mendapatkan kuasa elektrik, atau pernah melihatnya digunakan di pasar malam, perhatikan bagaimana deruman bunyi enjin akan berubah ketika peralatan elektrik dipasang hasil beban dari generator yang menghasilkan kuasa elektrik itu.
Sistem penjanaanan terdiri daripada tiga komponen utama: bateri, yang menyimpan tenaga elektrik untuk digunakan dan bertindak sebagai penampan untuk sistem elektrik motosikal; generator/alternator yang menghasilkan arus ulang-alik untuk menjalankan motosikal dan mengecas bateri; dan pengalih (rectifier), atau penerus/pengatur (regulator) yang lebih biasa digunakan, yang mengubah atau membetulkan arus ulang-alik (AC) yang dihasilkan oleh alternator ke arus terus (DC) supaya ia boleh disimpan dalam bateri dan mengawal jumlah arus yang dihasilkan untuk mengelakkan penjanaanan berlebihan. Sistem penjanaan pada motosikal menghasilkan kuasa elektrik untuk kegunaan penghasilan percikan api pada palam pencucuh atau plag, dan juga untuk mengecas semula bateri yang membekalkan kuasa kepada sistem nyalaan, unit kawalan elektronik enjin atau ECU yang berperanan penting dalam operasi enjin terutamanya bagi enjin yang menggunakan suapan sistem suntikan bahanapi. Kenayakan motosikal kini menggunakan penghidup elektrik yang mendapat kuasanya dari bateri yang sentiasa dicaj semula sewaktu enjin beroperasi.
Berbalik kita pada isu usaha meningkatkan kuasa enjin tadi. Dalam berbuat demikian, kesemua komponen enjin akan diteliti untuk menentukan dan mengenepikan apa jua komponen enjin yang tidak diperlukan dalam perlumbaan, ataupun dicari alternatif lain bagi menggantikan fungsinya. Kali ini kita berbicara sedikit tentang modifikasiatau alternatif sistem penjanaan yang digunakan oleh enjin perlumbaan.
Dari segi praktikalnya, jentera lumba tidak lagi perlu mengharapkan pengecasan semula bateri untuk menapatkan bekalan kuasa elektrik bagi operasi enjin ketika berlumba. Hakikat ini juga mengenepikan keperluan untuk mengekalkan sistem generator yang terdiri dari gegelung atau koil dan juga magnet penunggu serta peralatan lain seperti rektifier yang menentukan arus elektrik yang betul, dan juga regulator yang bertugas menetapkan tahap voltan elektrik yang dijana. Penanggalan kesemua peralatan ini dari jentera lumba sebenarnya bukanlah untuk mengurangkan berat enjin tetapi seperti yang dikatakan awal tadi, ia lebih kepada usaha untuk mengurangkan bebanan operasi yang ditanggung enjin dan sebagai usaha meningkatkan kuasa yang mampu dihasilkan.
Bagi menangani keperluan bekalan elektrik yang diperlukan operasi enjin, jentera lumba cub prix kini hanya bergantung harap kepada bekalan elektrik oleh bateri sahaja. Oleh itu, bateri yang digunakan haruslah mampu membekalkan bukan sahaja kuasa elektrik yang mencukupi sepanjang perlumbaan, tetapi yang lebih penting adalah bekalan kuasa elektrik yang sekata, malar atau tetap, dan mampu menangani kehendak peralatan elektronik bagi mendapatkan operasi enjin yang optimum. Bateri bateri yang digunakan oleh jentera perlumbaan dalam cub prix ini sentiasa dicaj dan dipastikan penuh terutama sekali sepanjang hujung mingu perlumbaan. Amat malang sekali jika enjin motosikal lumba anda mati di tengah tengah perlumbaan kerana kehabisan kuasa bateri!
Bagi enjin suapan kerburetor, penggunaan bateri yang berjenama dan berkualiti adalah penting untuk mendapatkan bekalan kuasa yang diperlukan sepanjang opersi hujung minggu perlumbaan. Kebanyakan jentera suapan karburetor menggunakan bateri jenis gel bagi mengelakkan tumpahan cecair asid bateri ketika kemalangan.
Kuasa elektrik yang sekata dan boleh diharap ini adalah mustahak lebih lebih lagi bagi enjin yang menggunakan suapan sistem suntikan bahanapi atau fuel injection seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Oleh itu, bateri yang berkualiti tinggi akan digunakan bagi jentera seperti ini untuk memastikan bahawa bekalan kuasa elektrik yang sekata akan mampu dibekalkan untuk keperluan operasi enjin yang optimum ketika perlumbaan. Kebanyakan pasukan lumba menggunakan bateri yang diperbuat dari sel lithium ion, dan jangan terkejut jika ada di antaranya mampu mencecah harga ribuan ringgit! Bateri lithium juga digunakan dalam telefon bimbit anda, dan ia dipilih kerana karekteristiknya yang mampu menghasilkan bekalan kuasa yang sekata, penyimpanan kuasa yang tinggi serta amat ringan jika dibandingkan dengan bateri asid plumbum samada dari jenis cecair mahupun jenis gel. Bateri 'mahal' seperti dari jenis Super-B ataupun Skyrich ini mampu menyimpan kuasa hingga sebanyak 72 Watt-jam, dan biasanya akan mampu bertahan bagi setahun penggunaan untuk perlumbaan. Teknologi bateri kian hari semakin berkembang, dan seperti yang dikatakan awal tadi, peranan bateri yang utama adalah membekalkan kuasa elektrik yang sekata dan mencukupi, jadi ada juga pasukan yang mencuba menggunakan pelbagai bateri bukan konvensional, seperti bateri 10,000mAh yang digunakan dalam helikopter kawalan jauh!
Jika anda ingin meningkatkan kuasa motosikal anda, mungkin anda juga boleh mencuba menggunakan pendekatan sebegini untuk motosikal anda. Cuma, pastikan bateri anda sentiasa dicaj penuh dan berada dalam keadaan baik, agar anda tidak tersadai pula di tepi jalan dalam perjalanan pulang ke rumah!