Meskipun peningkatan jualan tempatan boleh diasbab kepada kemungkinan pelanggan mengambil peluang dalam sela masa percutian cukai di mana GST berkadar sifar dan pra-pelaksanaan SST pada September ini, aktiviti eksport yang diteruskan semula oleh Proton turut menyumbang kepada peningkatan kepada keseluruhan jualan.
Saga dan Persona terus menyumbang kepada pegangan pasaran PROTON yang meningkat tiga bulan berturut-turut, dengan catatan bahagian pasaran sebanyak 11.7% dari Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai berbanding jumlah bahagian pasaran sebanyak 9.6% yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Saga kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.
Saga kekal menjadi pilihan utama kerana paling mampu milik, luas dan dilengkapi pengendalian terbaik bagi segmennya serta dengan tawaran ‘Saga Terbaik dalam masa 10 tahun’ di mana pelanggan boleh memiliki Saga baharu ini dengan harga kurang dari RM30,000 pada bulan Jun dan Julai. Bagi Persona, model yang mendapat penarafan antarabangsa 5 bintang oleh ASEAN NCAP ini mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Daya Kawalan (TC) dan 6 beg udara serta ruang dalamannya yang luas, ruangan bagasi seluas 510L dan banyak lagi, yang merupakan antara faktor utama yang mencuri perhatian pembeli.
"Julai adalah bulan yang sangat baik untuk PROTON kerana kami telah mencapai jumlah yang paling tinggi bukan hanya untuk 2018 tetapi juga untuk 30 bulan yang lalu. Kami tahu bahawa faktor utama yang meningkatkan jualan adalah disebabkan pengecualian cukai melalui GST berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST pada bulan September tetapi jumlah jualan tersebut juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah membuka mata mereka dengan tawaran menarik yang terdapat pada barisan kereta-kereta kami. Justeru, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini walaupun selepas SST diperkenalkan kerana kami bersedia untuk melancarkan SUV pertama pada tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.
Proton meneruskan aktiviti eksportnya buat pertama kali sejak bekerjasama dengan Geely.
Salah satu matlamat utama yang digariskan untuk pertumbuhan jangka masa panjang PROTON ialah jualan eksport, yang telah digerakkan semula tahun ini dengan penghantaran sebanyak 517 unit pada bulan Julai. Syarikat ini yakin mampu mencapai sasaran jualan eksport untuk 2018, dengan lebih banyak penghantaran dijangka akan dilaksvnakan sebelum akhir tahun ini. Ia dijangka akan menjadi batu loncatan untuk menjual lebih banyak kereta di peringkat antarabangsa bagi tahun-tahun akan datang.
Pada masa ini, pasaran eksport yang paling popular untuk kereta Proton adalah di Timur Tengah menerusi lokasi utama seperti Jordan, Iraq dan Iran. Jualan di Mesir dijangka akan kembali pada suku akhir tahun ini apabila negara itu pulih dari krisis mata wang yang menghalang industri kereta mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertandingan Servis Selepas Jualan yang julung kali dianjurkan oleh PROTON telah diadakan pada 20 Julai di Johor Bahru. Ia bertujuan untuk mencari juruteknik selepas jualan terbaik dan pusingan pertama telah menarik minat seramai 50 peserta di mana mereka telah diuji secara teliti dalam bidang kepakaran teknikal masing-masing. Pusingan akhir akan diadakan pada bulan September ini di wilayah tengah, dan para pemenang-pemenang wilayah akan bersaing untuk merebut hadiah utama sebanyak RM50,000 dan lawatan insentif ke Geely di China.
"Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk meningkatkan kualiti servis dan produk selepas jualan, Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON memberi peluang kepada kakitangan kami untuk bersaing dengan rakan sekerja dan mendorong mereka untuk lebih cemerlang kerana ia akan menunjukkan kebolehan mereka di dalam bidang masing-masing. Apabila mereka bersaing sesama sendiri, mereka dapat mempelajari kemahiran baharu yang mana akan meningkatkan kualiti kerja yang mereka berikan kepada para pelanggan," kata Abdul Rashid.
"Penambahbaikan dalam kualiti servis adalah penting untuk PROTON memandangkan kami telah memulakan kerja-kerja asas bagi pengenalan SUV dan produk lain yang akan dibangunkan bersama dengan Geely pada masa akan datang. Kami juga sedang membuat pelaburan besar dengan rakan kongsi kami untuk menaik taraf cawangan kepada status 3S dan 4S yang bertujuan untuk menambahkan lagi juruteknik yang lebih berkemahiran bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan. Ini adalah perkembangan yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa," tambah beliau.
Untuk memastikan tarikan terhadap barisan model kereta Proton sentiasa terjaga, Proton telah memulakan dua aktiviti untuk menampilkan produknya, meskipun usaha merekea kini tertumpu kepada pelancaran SUV yang baharu.
Aktiviti pertama adalah Ace The Space, di mana orang ramai dijemput untuk berkunjung ke cawangan PROTON yang terpilih untuk mengambil bahagian dalam cabaran bagi melihat berapa ramai yang boleh dimuat ke dalam 'Xtra ruang' bagi sebuah Proton Ertiga. Pasukan terbaik akan mendapat ganjaran menarik dan lima kumpulan terbaik keseluruhan dijemput untuk bersaing di pertandingan akhir yang akan diadakan pada 18 Ogos di PROTON Edar Crystal. Berlainan dari pusingan awal, kenderaan yang digunakan pada pusingan akhir adalah Proton Exora di mana akan terdapat kemungkinan besar rekod seramai 41 orang di dalam sebuah Ertiga akan dipecahkan.
Inisiatif kedua ialah PROTON 1 Tank Adventure, yang membawa para pelanggan, ahli kelab kereta Proton, selebriti dan rakan-rakan media bersama-sama menjelajah ke lima wilayah di Malaysia. Setiap pusingan menggalakkan para peserta untuk menikmati pemandangan, budaya dan makanan tempatan di wilayah-wilayah tersebut sambil memandu kereta Proton sama ada Iriz, Persona atau Saga. Satu-satunya cabaran dalam penjelajahan ini yang meliputi lebih dari 600km adalah mereka perlu melakukan perjalanan dengan hanya menggunakan satu tangki minyak. Hadiah akan diberikan kepada peserta yang terbaik dan pada pusingan akhir yang akan diadakan pada hujung bulan ini, peserta akan diminta untuk melengkapkan perjalanan lebih dari 720km.
Angka penggunaan minyak yang paling jimat yang diperoleh para peserta semasa pusingan wilayah setakat ini adalah 21.05km/L bagi Iriz dan 25.18km/L bagi Persona. Bagi Proton Saga pula, bacaan terbaik yang direkodkan adalah 28.49km/L.
"Walaupun terdapat banyak perkara yang dilakukan sempena pelancaran SUV pertama PROTON, Syarikat juga menyedari keperluan untuk terus mempromosikan barisan kereta-kereta sedia ada. Kedua-dua inisiatif ini dirangka untuk mempamerkan kekuatan dan ketahanan model-model terkini dan diharapkan ini akan membawa tarikan berterusan daripada pembeli kereta," kata Abdul Rashid.
PROTON terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.