Skuter Benelli pertama dilancar

Benelli Malaysia melancarkan skuter pertamanya, VZ125i. Benelli VZ125i memenuhi kehendak penunggang yang mahukan skuter berprestasi, bertaraf tinggi, bergaya dan kebolehpercayaan, yang memberikan kawalan penuh perjalanan mereka secara praktikal.


Benelli VZ125i dilengkapi dengan enjin SOHC 124 cc, silinder tunggal dwi-injap empat lejang, suntikan bahan api elektronik (EFI) dan nyalaan TLI. Skuter ini menjana 8.4hp @ 7,500rpm dan tork 9.2Nm @ 6,000rpm untuk mengharungi lalu lintas yang sempit dengan mudah dan tangkas.
Tunggang uji ringkas kami di celah celah laluan sesak Pulau Pinang telah membuktikan kemampuannya. Benelli VZ125i juga dilengkapi dengan transmisi CVT baharu yang membolehkan skuter ini memecut dengan lancar. Bagi versi ‘Standard’, suspensi depan dilengkapi dengan topang atau fork teleskopik manakala suspensi belakang pula dari jenis spring teleskopik redaman minyak. Versi ‘Special Edition’ pula menawarkan suspensi teleskopik redaman minyak berserta tangki-sampingan. Sistem brek VZ125i merupakan jenis cakera dua omboh berdiameter 220mm untuk memberikan keyakinan hentian dan keselamatan yang maksimum.


Selain itu, ciri-ciri VZ125i seperti suis utama anti-kecurian, cangkuk topi keledar di bawah tempat duduk, pengecasan USB dan cangkuk gantung depan menjadikan VZ125i sebagai kenderaan yang sesuai untuk perjalanan harian anda.

Direka oleh pasukan rekabentuk internasional Benelli yang terkenal, gaya rekaannya yang dinamik mencerminkan keunikan Benelli. Ia dilengkapi dengan panel instrumen paparan LCD, lampu hadapan dan lampu isyarat LED dengan fungsi lampu kecemasan “hazard light”. VZ125i adalah skuter pertama yang memperkenalkan fungsi lampu kecemasan “hazard light” dalam kelasnya.
 Benelli VZ125i direka khusus untuk citarasa rakyat Malaysia, terutamanya untuk pelajar dan penunggang wanita sebagai kenderaan harian. Benelli Meleysia mensasarkan jualan VZ125i ini sebanyak 15,000 unit setahun.

Jika dibandingkan skuter yang sama dalam kategori ini, pengguna akan lebih kagum dengan ciri-ciri unik dan harganya yang kompetitif. Benelli VZ125i boleh didapati dalam 3 pilihan warna iaitu ‘Matte Blue’, ‘Chili Red’ dan ‘Matte Black (SE)’. VZ125i berharga RM5,288.00 manakala VZ125i (SE) ditawarkan pada harga RM5,588.00 (semua harga adalah termasuk SST & tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Benelli VZ125i boleh didapati di kedai pengedar sah Benelli bermula dari Disember 2018.