Syarifuddin mula mempamerkan aksi sebenar apabila meraih dua
kemenangan berturut-turut pada pusingan keempat di Temerloh dan kelima (Teluk Intan) selepas kecewa gagal
menamatkan dua perlumbaan pusingan awal tahun ini.
“Pada peringkat awal musim, kami masih mencari dan mencuba
pelarasan baru yang ingin digunakan pada tahun ini, namun malangnya kami gagal
untuk menaiki podium dan saya sendiri gagal untuk menamatkan perlumbaan,” jelas
Syarifuddin. “Namun selepas itu, hasil kerja keras semua, kami
mula bangkit dan terus memperbaiki kesilapan yang ada sehingga akhirnya saya
dapat menjuarai dua perlumbaan berturut-turut,” tambahnya.
Mengulas tentang peluang untuk mengejar kedudukan
keseluruhan yang dipegang oleh Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH
Racing) dengan 97 mata, Syarifuddin yang berada di tangga keempat dengan 58
mata berkata dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut.
“Perbezaan mata ketika ini agak jauh namun saya tidak mudah
menyerah kalah kerana tidak mustahil untuk saya mengejar. Cuma fokus saya
berbeza, saya hanya mahu memberi tumpuan untuk memenangi satu demi satu
perlumbaan berbanding dengan gelaran.”