Boleh ke Tengku Amirul menang kali keenam...?

Tengku Amirul Hafiruddin kan turun beraksi di halaman sendiri pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kuala Terengganu, Terengganu, 5 dan 6 Oktober ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mensasarkan kemenangan keenam sekaligus terus melebarkan jurang selaku pendahulu keseluruhan CP115. Beliau telah meraih lima gelaran juara daripada enam perlumbaan musim ini dan hanya sekali tamat di kedudukan keempat sewaktu pusingan keempat di Temerloh, Pahang.
 Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, 52 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang berada di kedudukan kedua dengan 86 mata manakala Md Haziq Md Fairues ketiga dengan 79 mata.

“Saya gembira kerana selepas dua tahun, perlumbaan Cub Prix kembali ke Kuala Terengganu dan saya dapat beraksi di hadapan keluarga dan penyokong saya di sini dan berharap dapat mengulangi pencapaian menaiki podium di sini pada tahun 2015,” jelas Tengku Amirul.
 Tambahnya, “Namun, walaupun saya telah memenangi lima perlumbaan setakat ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan CP115 ini sentiasa sengit dan tidak diduga. Apa yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin pasukan juga akan menyediakan jentera terbaik untuk saya minggu ini.”

MyPUSPAKOM mudahkan urusan pemeriksaan kenderaan

PUSPAKOM Sdn Bhd kini telah menuju ke era digital dengan memperkenalkan tempahan dan pembayaran dalam talian yang dikenali sebagai MyPUSPAKOM sejak akhir tahun lepas. Pelanggan kini boleh membuat tempahan dan pembayaran dalam talian untuk semua pusat pemeriksaan di Semenanjung Malaysia, Kuching dan Kota Kinabalu menerusi laman web www.mypuspakom.com.my atau aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM.




Melalui MyPUSPAKOM, seseorang pelanggan bukan sahaja dapat melihat maklumat temujanjinya, malah menyemak semua maklumat kenderaannya dan juga rekod tempahan/temujanji kenderaannya dari akaun MyPUSPAKOM. Oleh itu, ia amat berguna kepada operator dan pemilik kenderaan atau organisasi yang mempunyai sejumlah kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM.

MyPUSPAKOM kini mempunyai lebih daripada 86,000 pengguna berdaftar sejak diperkenalkan pada Ogos 2017. Sebelum wujudnya MyPUSPAKOM, pelanggan hanya boleh membuat temujanji melalui e-mel dan menerusi panggilan telefon ke pusat panggilan PUSPAKOM sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, "MyPUSPAKOM” telah dirangka dengan tujuan untuk membantu para pelanggan menguruskan masa dengan lebih baik. Ini bukan sahaja menjadikan proses temujanji serta pemeriksaan lebih mudah dan pantas, malah lebih cekap dan telus."

"Ia juga membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan tertentu terutamanya ketika waktu puncak dan menjelang atau selepas musim perayaan. Secara umumnya, para pelanggan perlu hadir pada waktu slot yang ditempah, 20 minit sebelum waktu temujanji. Kami komited untuk menyelesaikan pemeriksaan
dalam masa 60 minit atau sejam. Ini dapat membantu meningkatkan pengalaman pelanggan di pusat pemeriksaan kami” , tambah Mohammed Shukor.

Status setiap aktiviti pemeriksaan dari mula membuat temujanji hingga selesai pemeriksaan akan dihantar terus melalui e-mel kepada pemilik akaun MyPUSPAKOM dalam waktu sebenar. Dalam konteks ini, pemilik akaun akan dapat memantau pergerakan kenderaannya.
PUSPAKOM komited dalam membuat proses pemeriksaan kenderaan lebih mudah dan selesa untuk pelanggannya. Untuk maklumat lanjut mengenai MyPUSPAKOM, sila log masuk ke www.mypuspakom.com.my atau hubungi 1-800-22-2210.

Afif Amran tak pernah menang di Terengganu

 Keinginan  Ahmad Afif Amran yang merupakan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing untuk menjuarai perlumbaan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Pri AAM Malaysia PETRONAS adalah untuk melebarkan jurang pungutan mata pendahulu keseluruhan CP150 itu,di litar Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini.

Rekod terdahulunya hanya sebagai naib juara dalam kelas CP115 pada tahun 2013 dan ketiga dalam kategori CP130 pada tahun 2014.
 “Memang saya memasang impian untuk menang di sini kerana sepanjang beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix, saya tidak pernah muncul juara di Terengganu,” jelas pelumba kelahiran Dungun itu. Tambahnya, “Namun saya rasakan perlumbaan minggu ini lebih mencabar dan peluang juga lebih terbuka kerana kali terakhir kami berlumba di sini ialah pada tahun 2015 dan masih menggunakan jentera CP130. Semua pasukan tidak mempunyai data baharu untuk perlumbaan kali ini selain faktor keadaan permukaan litar juga mungkin sudah berubah.
 “Walaupun inginkan gelaran juara, pada masa sama saya juga tidak boleh terlalu mengambil risiko. Saya juga perlu memikirkan strategi terbaik dan memberi keutamaan untuk memungut mata sebanyak mungkin bagi mempertahankan kedudukan ketika ini. Perlumbaan sudah semakin ke penghujung musim, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah ketika ini.”
 Selepas enam pusingan, Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 135 mata, 40 mata mengatasi juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan 95 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman ketiga dengan 90 mata.