Zaqhwan Zaidi damba mata berharga

Selepas empat pusingan, Mohd Zaqhwan Zaidi yang turut beraksi dalam saingan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun kini menduduki tangga kelima keseluruhan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dengan mengumpul 65 mata selepas tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia. Zaqhwan berhasrat unutuk menamatkan kemarau gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan kelima yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini
 Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu yang juga merupakan juara keseluruhan musim 2014 dan 2016 setakat ini masih belum meraih sebarang kemenangan juara sepanjang empat pusingan lepas dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada pusingan keempat yang berlangsung di Madras, India, Ogos lepas.

Kali terakhir Zaqhwan muncul juara ialah pada Perlumbaan 1 sewaktu pusingan keenam ARRC di Litar Buriram, Thailand yang membantunya untuk muncul naib juara keseluruhan di belakang seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.
 “Saya sangat berharap dapat memenangi perlumbaan pada minggu ini namun rekod saya di sini tidak begitu baik. Pada musim lepas saya sekadar di tempat keempat pada perlumbaan kedua sebelum mengalami kemalangan dan tidak dapat beraksi pada Perlumbaan 2,” jelas Zaqhwan.
Tambahnya, “Namun saingan sudah tentu bukannya mudah, ditambah dengan kehadiran pelumba tuan rumah dan juga faktor keadaan litar yang agak mencabar di sini. Walau bagaimanapun, saya akan memberikan yang terbaik dan turut yakin kemampuan jurutera pasukan untuk menyediakan jentera yang terbaik kepada saya.”



Pembekal PROTON jalin kerjasama dengan rakan kongsi luar negara

PROTON mengorak satu lagi langkah kehadapan bagi usaha pengeluaran tempatan SUV X70 dengan jalinan kerjasama antara pembekal PROTON dan rakan kongsi luar negara. Kumpulan pertama ini telah menandatangani perjanjian meliputi skop usaha sama sehinggalah kepada bantuan teknikal, yang akan melibatkan pelaburan awal sebanyak RM170 juta di Malaysia. Nilai pelaburan ini dijangka meningkat dalam masa beberapa tahun ini selari dengan peningkatan jumlah pengeluaran PROTON.
Perjanjian yang ditandatangani antara pembekal Malaysia dan rakan kongsi luar negara ini merupakan langkah pertama dalam mewujudkan pembekal yang mampu memenuhi standard teknologi dan kualiti yang diperlukan untuk mengeluarkan kereta-kereta Proton generasi baharu yang akan dihasilkan bersama Geely. Perjanjian ini juga merupakan komitmen PROTON untuk mempertingkatkan jualan tempatan dan pasaran eksport dengan transformasi Tanjung Malim sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan serta menjadi hab pengeluaran untuk model-model pemanduan sebelah kanan dalam kumpulan Geely.
Untuk mencapai matlamat ini, PROTON melabur sebanyak RM1.2 bilion dalam inisiatif perluasan kilang bagi memenuhi keperluan pengeluaran semua model baharu Proton di Tanjung Malim. Ini adalah selaras dengan perjanjian perkongsian strategik yang ditandatangani antara PROTON dan Geely pada 2017 dengan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan PROTON dan jualan model-modelnya. Matlamat jangka panjang adalah membangun semula jenama itu sebagai pemimpin pasaran dalam negara disamping memperluaskan jenama di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam pasaran ASEAN bagi pemanduan sebelah kanan.
Majlis yang diadakan di Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, iaitu kilang pengeluaran PROTON telah dihadiri oleh Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin, Exco Korodor Pelaburan dan Pembangunan mewvkili YAB Menteri Besar Perak Tuan Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, YB Chang Lih Kang, Pengerusi PROTON Dato' Seri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dr Li Chunrong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dato’ Radzaif Mohamed, serta barisan pengurusan kanan PROTON dan DRB-HICOM.
"PROTON menggesa pembekalnya untuk mengambil peluang ini bagi mewujudkan usaha sama dengan pembekal luar negara untuk mencapai standard dunia dari segi kemajuan teknologi dan kualiti. Ini akan membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa dan membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia yang mampu bersaing secara global," kata Pengerusi PROTON, Dato' Seri Syed Faisal Albar.
"Penglibatan pembekal Malaysia adalah komponen utama untuk mencapai matlamat jangka masa panjang Syarikat. Kami mahu produk Proton yang dihasilkan di sini iaitu di Tanjung Malim, menggunakan komponen buatan Malaysia untuk pasaran domestik serta model eksport dan mampu berdepan dengan pesaing dari seluruh dunia. Ini adalah komitmen PROTON, sebagai jenama automotif ikonik Malaysia, untuk memastikan industri automotif Malaysia terus membangunkan kompetensi kelas dunia," katanya.
Proton X70 akan menjadi model pertama yang dihasilkan oleh PROTON dan Geely di kilang Tanjung Malim. Sebelum pelancarannya, model X70 ini akan dipamerkan di beberapa sesi pratonton pelanggan bertujuan untuk memperkenalkan SUV pertama PROTON tersebut kepada rakyat Malaysia. Maklum balas yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan dan ramai antara mereka membuat tempahan dengan bayaran deposit sebanyak RM1,000 sejak tempahan dibuka pada 8 September lalu.
"Proton X70 akan menjadi produk pertama yang dilancarkan dalam rancangan kami untuk memulihkan PROTON. Ia akan menampilkan teknologi terkini serta tahap kemewahan dan kualiti, bersama dengan cawangan 3S dan 4S baharu kami yang akan meningkatkan jenama ke tahap yang baharu. Kami yakin ramai rakyat Malaysia akan menemui semula cinta mereka terhadap model Proton selepas mereka mengalami keistimewaan SUV baharu ini," kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.