Mohd Helmi Azman sah dinobatkan juara keseluruhan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) setelah muncul naib juara Perlumbaan 1 pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand Sabtu lepas.
Masih berbaki satu perlumbaan akhir pada hari Ahad, penamat di tempat
kedua di Thailand sudah cukup untuk menyaksikan Helmi bergelar juara dengan
mengumpul 192 mata manakala pencabar tunggal yang mampu melengahkan kemenangan
Helmi, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) sekadar tamat di
kedudukan ke-14 untuk menjadikan 124 mata keseluruhan.
Kemenangan Helmi bagaimanapun dilihat sukar pada peringkat
awal apabila terpaksa bermula dari petak ke-19 setelah mengalami masalah enjin
pada sesi kelayakan, semalam namun berjaya memaksimumkan keupayaan jentera
untuk berada di kelompok hadapan dari peringkat awal perlumbaan.
Helmi berjaya menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan
masa keseluruhan 16’19.362s di belakang pelumba wildcard, Wawan Wello (Yamaha
Yamalube SND Factory) yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’18.788s.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba berpengalaman negara, Md
Affendi Rosli ((Team One For All) dengan masa keseluruhan 16’19.544s.
“Musim ini sangat sempurna untuk saya kerana berjaya
memenangi gelaran Underbone 150cc. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan
yang telah bekerja keras dan menyediakan jentera terbaik kepada saya pada musim
ini sehingga impian kami semua menjadi kenyataan,” jelas Helmi yang turut
membantu pasukan SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team untuk mengesahkan gelaran selaku
juara keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 192 mata selepas kali terakhir
memenangi gelaran pasukan terbaik Asia pada tahun 2009.
“Perlumbaan hari ini sedikit mencabar setelah terpaksa
memulakan perlumbaan dari kelompok belakang. Walaupun begitu, saya memang
bertekad dari awal lagi untuk menamatkan singan di atas podium dan ia berjaya.
Walaupun sudah memenangi gelaran, saya berharap dapat memenangi perlumbaan
terakhir musim ini di atas podium pada hari esok.”
Kemenangan tersebut juga menyaksikan pelumba muda negara itu
berjaya memastikan gelaran Underbone 150 kekal di Malaysia selepas dimenangi Md
Akid Aziz pada musim lepas.
KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1
UNDERBONE 150CC
1 Wawan Wello(INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:18.788s
2 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:19.362s
3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 16:19.544s
4 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 16:19.562s
5 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:19.563s
Kedudukan Keseluruhan
1 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 184
mata
2 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB
Yamaha YY Pang Racing 124 mata
3 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 109 mata
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 95
mata
5 Gupita Kresna Wardhana (INA) Yamaha Yamalube SND Factory Yamaha 85 mata
Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 192 mata
2 RCB Yamaha YY Pang Racing 141 mata
3 Yamaha Yamalube SND Factory 136 mata
4 UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 128 mata
5 ONEXOX TKKR Racing Team 112 mata