Saingan
pusingan akhir Klinik Cub Prix KBS yang berakhir di Litar Lumba Tangkak
menjadi perlumbaan perlumbaan penutup kepada siri sukan permotoran
negara pada 22 dan 23 Disember lepas.
Selepas
menjelajah ke 22 lokasi seluruh negara, 48 remaja terpilih berpeluang
menunjukkan kemahiran mereka pada sesi pemilihan terakhir di Litar Lumba
Tangkak. Remaja-remaja
terpilih menerima tunjuk ajar dan didikan daripada dua mentor
berpengalaman negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan Azlan Shah
Kamaruzaman.
Kesemua
peserta turut berpeluang menerima tunjuk ajar daripada pelumba-pelumba
handalan tanah air iaitu dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor,
Kasma Daniel Kasmayuddin dan Md Akid Aziz bersama-sama Azroy Hakeem
Anuar dan juara Underbone 150cc Asia, Mohd Helmi Azman yang turut
bersama-sama peserta sepanjang dua hari sesi pemilihan.
Kesemua
48 peserta berusia sekitar 13 hingga 22 tahun bersaing bagi merebut
enam slot automatik ke siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2019
di mana kebanyakannya turun ke litar buat pertama kali dengan menggunakan sut
perlumbaan dan menggunakan jentera underbone perlumbaan sebenar.
Dua
perlumbaan akhir yang berlangsung pada penghujung dua hari sesi
pemilihan menyaksikan kategori Honda dimenangi oleh pelumba berusia 17
tahun, Mohd Izzat Hakimi dari Perak dengan masa keseluruhan 9'14.343s
diikuti pelumba dari Johor, Muhammad Shaifullah di kedudukan kedua dan
Abang Muhd Zulfayribin Abang Sapawi berusia 19 tahun dari Sarawak di
kedudukan ketiga.
Perlumbaan
kategori Yamaha dimenangi pelumba berusia 13 tahun dari Johor, Mohd
Adam Haikal Jahar dengan masa 8'45.892s. Khamirudin Abd Kadir dari
Sarawak melintasi garisan penamat sebagai naib juara diikuti Muhamad
Luqman Mohd Sani ketiga. Senarai pelumba yang menerima biasiswa untuk saingan musim 2019 bagaimanapun akan diumumkan kemudian.
Klinik
Cub Prix KBS merupakan program pembangunan sukan permotoran negara yang
dijalankan oleh pihak Kejuaraan Cub Prix bersama Kementerian
Belia dan Sukan Malaysia. Program ini turut mendapat sokongan pengeluar
Hong Leong Yamaha Motors dan Boon Siew Honda Sdn Bhd.