Ahmad Afif Amran akui tidak berasa tertekan dengan penguasaan yang dipamerkan oleh barisan pelumba Honda sewaktu pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka Mac lepas.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu sekadar
menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di belakang juara, Azroy Hakeem
Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing)
dan rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi yang melengkapkan podium di
kedudukan ketiga.
Menjelang perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang hujung
minggu ini, Afif yang meraih sembilan podium pada musim lepas termasuk empat
gelaran juara sebaliknya yakin dia dan rakan sepasukan serta barisan pelumba Yamaha lain
akan bangkit dan kembali ke pentas podium.
“Saya tidak tertekan dengan keputusan pusingan lepas. Perlumbaan
di Jasin juga tidak bermaksud prestasi kami musim ini sudah menurun, sebaliknya
kami masih mencari keserasian dengan beberapa percubaan dan pelarasan mengikut perubahan
peraturan teknikal jentera yang digunakan pada musim ini,” jelas Afif.
Tambahnya, “Sebenarnya, keputusan di Jasin dapat menjadikan saingan
musim ini lebih kompetitif dan menarik. Persaingan diantara jentera Yamaha dan
Honda pasti lebih sengit dan kami perlu bekerja lebih keras jika
mahu menaiki podium. Kami tidak boleh mengambil langkah mudah walaupun
perlumbaan masih di peringkat awal musim.”
No comments:
Post a Comment