Ahmad Fazrul Sham percaya sedikit tuah mampu membawa pasukan
mereka, AHM Motorsports Yamaha Racing untuk menjejakkan kaki di atas podium kategori
CP150 pada saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang
berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, 13 dan 14 April ini.
Barisan pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing mempamer aksi
memberangsangkan apabila Fazrul berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima
manakala pelumba rookie, Md Shahzul Naim Razali di kedudukan ke-11.
Malang buat Md Iqbal Amri Malek yang sebelum itu melakukan
kejutan apabila berjaya meraih petak mula di kedudukan pertama setelah muncul
pelumba terpantas sesi kelayakan Superpole apabila terjatuh seawal pusingan
kedua perlumbaan akhir yang dimenangi Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu
Honda Yuzy Racing.
“Kami mempamer aksi diluar jangkaan sewaktu di Jasin, namun
nasib tidak begitu menyebelahi kami setelah Iqbal terjatuh manakala saya pula
mengalami sedikit masalah ketika sesi kelayakan,” jelas Fazrul yang pernah
memenangi perlumbaan di Batu Kawan pada tahun 2008.
Tambahnya, “Jentera kami sangat baik. Saya berada di
kelompok lima pelumba terbaik dalam setiap sesi di Jasin selain sesi kelayakan,
jadi saya yakin kami akan kekal memberikan cabaran di Batu Kawan minggu ini.
“Mudah-mudahan sedikit tuah dan nasib lebih baik akan
membantu kami untuk menaiki podium minggu ini,” jelas juara CP130 2015 itu.
No comments:
Post a Comment