Akhirnya Adib naik podium

 
Usaha Mohd. Adib Rosley sepanjang musim ini yang tidak pernah jemu untuk mengejar kedudukan podium akhirnya berjaya direalisasikan.
"Saya sudah mengotakan janji untuk berada di podium kemenangan. Hari ini saya sudah melakukannya walaupun hanya muncul naib juara. Terima kasih kepada pasukan.”

Itu kata-kata yang diungkap oleh pelumba pasukan RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team itu sebaik tamat Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di litar yang agak basah itu gara-gara hujan, Adib muncul naib juara dengan catatan masa 14’15.759 saat (s).

Walaupun dilihat berpeluang untuk bergelar juara, namun kesilapan yang dilakukan Adib ketika perlumbaan berbaki dua pusingan telah memberi ruang kepada pelumba berusia 13 tahun dari Indonesia, Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) untuk memintasnya.

Aldi yang baharu menyambut harijadinya Jumaat lalu, memenangi lima pusingan perlumbaan itu dengan catatan masa 14’15.462s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Mohd. Fazli Sham dengan masa 14’16.085s.

Pada Pusingan 3 di Buriram bulan lalu, Fazli muncul juara Perlumbaan 2.

“Saya tidak kisah kalau tak muncul juara, tetapi apa yang penting adalah untuk berada di podium kemenangan. Ia merupakan sasaran saya musim ini kerana sudah lama tidak merasai detik manis berada di podium ARRC,” jelas pelumba asal Selangor itu.

Ditanya mengenai perasaannya ketika mengharungi perlumbaan tersebut, Adib menjelaskan bahawa dia turun seperti biasa, namun tetap berhati-hati kerana keadaan litar yang agak basah.

Menurutnya, keadaan jenteranya juga berada dalam keadaan stabil berbanding ketika mengharungi Perlumbaan 1 semalam walaupun pelarasannya sama.
“Mungkin Perlumbaan 2 hari ini yang berlangsung dalam keadaan litar basah, telah memaksa pelumba lain untuk lebih berhati-hati, tetapi bagi saya ia bukan satu masalah asalkan kekal fokus dan cuba mengelak sebarang kesilapan,” jelasnya.

Pada penampilannya di Pusingan 1 dan 2 sebelum ini, nasib tidak begitu menyebelahi Adib kerana dia sering berdepan masalah teknikal sehingga menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan.

Pencapaian terbaiknya musim ini adalah menduduki tempat ketujuh Perlumbaan 1 di Buriram bagi membolehkannya mengutip tujuh mata manakala di Sepang dia menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13 untuk meraih tiga mata.

Selepas selesai perlumbaan hari ini kedudukan keseluruhan masih diungguli Wawan Wello yang sudah mengumpul 71 mata manakala McKinley Kyle Paz dan Mohd. Akid Aziz terikat dengan 59 mata.

Sementara itu, Perlumbaan 2 kelas AP250 hari ini terus menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia dengan Ahwin Sanjaya dari pasukan Astra Honda Racing Team muncul juara dengan masa 21’52.015s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Irfan Ardiansyah yang melakukan catatan masa 21’56.116s manakala pelumba pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang juga juara Perlumbaan 1 semalam, Andy Muhammad Fadly berada di tempat ketiga dengan 21’57.084s.

Pelumba terbaik Malaysia dalam kelas AP250 hari ini adalah Muhammad Izam Ikmal (SIC Junior ZK Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan masa 22’12.748s.

KEPUTUSAN
Perlumbaan 2 Underbone 150 (Lima teratas)
Aldi Satya Mahendra (INA) Yamaha Racing Indonesia – 14’15.462s
Mohd. Adib Rosley (MAS) RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team – 14’15.759s
Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 14’16.085s
Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 14’16.277s
Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 14’21.682s

Kedudukan keseluruhan
 Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido - 71 mata
 McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippine Team - 59
 Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Motor Maju Asia - 59
 Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All - 55
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All - 54


Keputusan Perlumbaan 2 AP250 (Lima teratas)
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 21’52.015s
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 21’56.116s
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -21’57.084s
Piyawat Patoomyos (THA) A.P Honda Racing Thailand – 21’57.199s
Sawapol Nillapong (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 21’59.274s

Kedudukan keseluruhan
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -127 mata
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Muklada Sarapueh (THA) A.P Honda Racing Thailand – 97
Aiki Iyoshi (JPN) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 88

No comments: