Litar licin rencatkan misi Zaqhwan pada Perlumbaan 2 ASB1000

Keadaan jentera yang kurang stabil telah merencatkan misi pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi untuk melakukan penyudah podium kelas ASB1000 pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang berakhir di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan 11 pusingan itu, Zaqhwan sekadar menduduki tempat kelima dengan masa 27’04.355 saat (s) untuk mengutip 11 mata.

Perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar licin dan basah itu ternyata menyukarkan rentak pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa itu untuk melancarkan strategi meskipun telah beberapa kali berusaha untuk menempatkan diri di hadapan.

Namun, bagi Zaqhwan, dia tidak kehilangan mata daripada perlumbaan tersebut selepas kejayaannya muncul naib juara pada Perlumbaan 1 semalam.

“Saya buka tidak berusaha untuk mengejar kedudukan podium, tetapi keadaan tidak mengizinkan saya untuk melakukan ke tahap maksimum.

“Saya akui perlumbaan tersebut memang sukar tetapi saya telah melakukan yang terbaik. Keadaan cuaca yang tidak menentu antara faktor yang menjejaskan usaha saya. Selepas hujan, litar licin dan tidak lama kemudian, keadaan agak kering pada hal kami telah memilih untuk menggunakan tayar basah.

“Situasi tersebut menyebabkan jentera kurang stabil dan ‘setting’ juga agak lari gara-gara perubahan cuaca yang begitu mendadak,” jelas Zaqhwan.

Menurutnya, ekoran masalah tersebut dia memilih jalan selamat dan mengekalkan momentum agar tidak kehilangan mata.

Perlumbaan 2 itu dimenangi pelumba Jepun, Shinichi Nakatomi yang mewakili pasukan HiTMAN RC-Koushien Yamaha dengan masa 26’48.314s.

Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang muncul juara Perlumbaan 1 semalam, berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 26’50.448s manakala Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) di tempat ketiga dengan masa 26’50.898s.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan perlumbaan itu di kedudukan keenam dengan masa 27’10.335s.

Rentak Azlan pada perlumbaan itu juga kurang lancar gara keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

Selepas berakhirnya perlumbaan hari ini, kedudukan keseluruhan kelak dipimpin oleh Broc dengan 150 mata diikuti Azlan (123 mata) dan Zaqhwan di tempat ketiga dengan 115 mata.

Keputusan Perlumbaan 2 ASB1000 (Lima teratas)
Shinichi Nakatomi (JPN) HiTMAN RC-Koushien Yamaha – 26’48.314s
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.448s
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.898s
Ratthapong Wilairot (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 26’56.597s
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 27’04.355s

Kedudukan keseluruhan
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 150 mata
Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 123
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 115
Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 97
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 95


No comments: