ARRC kembali ke Zhuhai, tampil UB150 pertama kali

Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM  kembali ke Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC), China minggu ini selepas berehat tujuh tahun daripada mengunjungi litar sepanjang 4.3 kilometer itu. Litar yang dianggap antara tertua di rantau ini, akan menjadi hos bagi Pusingan 5 ARRC 2019 pada 9 hingga 11 Ogos ini.

Kali terakhir ARRC diadakan di litar dengan 14 selekoh sukar itu ialah pada tahun 2012. Saingan Pusingan 5 ini bakal menyaksikan penampilan sulung  kategori UB150cc di ZIC selain kategori ASB1000cc yang baru diperkenalkan musim ini.

UB150cc merupakan kategori paling popular dalam kalangan pelumba di Asa Tenggara terutamanya di Indonesia dan Malaysia akan menyaksilan sejumlah 29 motosikal berada di atas litar bagi memburu podium dalam kelas tersebut dari Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Saingan kelas UB150cc pada Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun bulan lalu, menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia begitu terserlah setelah menguasai kedudukan tiga teratas dalam Perlumbaan 1 menerusi Wawan Welo, G.Kresna (SND Factory Racing Rapido) dan W. Aji Trilaksana (ONEXOX TKKR SAG Racing Team).

 Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) melengkapkan penguasaan Indonesia dalam kategori tersebut di Perlumbaan 2 manakala dua pelumba Malaysia, Mohd. Adib Rosley (RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team) dan Mohd. Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Aksi di Suzuka dianggap yang terbaik buat Adib kerana ia merupakan penyudah podium pertamanya di peringkat Asia musim ini.

Pada aksi di Zhuhai nanti, Adib mahu meneruskan kecemerlangan tersebut lebih-lebih lagi selepas mendapat keyakinan baharu hasil daripada kejayaannya di Suzuka bulan lalu.

Menurut Adib, sebahagian besar pelumba kelas UB150cc tidak pernah beraksi di ZIC dan situasi ini bakal membuka peluang kepada semua pelumba untuk mejejak podium.
“Saya tetap dengan sasaran untuk meraih kemenangan podium dan yakin untuk melakukannya sekali lagi.

“Saingan di Zhuhai nanti agak terbuka kerana kelas UB150cc ini tidak pernah diadakan di liar tersebut. Saya cuma berharap keadaan jentera berada pada tahap terbaik dalam misi untuk memburu penyudah podium kedua di peringkat ARRC musim ini,” jelas Adib.

Namun, tentunya dia bakal berdepan saingan sengit daripada barisan pelumba Indonesia yang telah memperlihatkan kebangkitan luar biasa di Suzuka bulan lalu.

“Saingan sudah pastinya hadir daripada barisan pelumba Indonesia terutamanya Wawan Wello yang dilihat terus konsisten setakat ini. Namun, saya tidak gentar dan akan tetap bekerja keras bagi mencapai impian menghadiahkan kemenangan buat pasukan,” katanya.

Wawan kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori pelumba dengan mengumpul 79 mata, meninggalakan pendahulu sebelum ini, McKinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) di tempat kedua dengan perbezaan 12 mata.

Antara pelumba lain yang diramal mampu menguasai sangan di Zhuhai nanti adalah Mohd. Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team), Mckinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) serta Aji Trilaksana.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA UB150cc (5 Teratas)
Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido) – 71 mata
McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippine Team – 59
Mohd Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 59
Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 55
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All) – 54

PASUKAN
ONEXOX TKKR SAG Team – 79 mata
Team One For All – 79
SND Factory Racing Rapido - 76
UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team - 75
UMA Racing Yamaha Philippine Team - 71
#arrc #ub150

No comments: