Cub Prix kembali ke K.Terengganu minggu ini

Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, Terengganu menjadi tuan rumah Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hujung minggu 23 hingga 24 Ogos ini.

Anak jati Terengganu, Ahmad Afif Amran kini memegang status selaku pendahulu keseluruhan kelas CP150 dengan mengumpul 78 mata. Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu yang tampil konsisten untuk berada dalam kelompok tiga pelumba teratas di setiap pusingan setakat ini. Selain Afif, dua lagi anak jati Terengganu yang akan beraksi dalam kelas CP150 adalah Md Hafiza Rofa yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team serta Md Harith Farhan Baharin yang beraksi untuk pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Saingan Pusingan 4 di Pontian, Johor hujung bulan lalu yang menyaksikan penguasaan jentera Yamaha meskipun sebelum itu prestasi jentera Honda mampu menyaingi  lawn mereka itu pada Pusingan 1 dan 2 di Jasin Melaka dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Selain itu, edisi di Terengganu juga sentiasa menyajikan kejutan dan sejak tahun 2009, gelaran juara bagi kelas perdana ini silih berganti.

Tiada pelumba yang mampu mengekalkan reputasi selaku juara meskipun sebahagian besar daripada mereka bukan asing dengan keadaan litar di negeri Pantai Timur itu.

Sejak edisi 2009 hanya dua pelumba mampu meraih gelaran juara sebanyak dua kali pada saingan di Terengganu.

Elly Idzlianizar Ilias melakukannya pada tahun 2009 dan 2012 (ketika itu bagi kelas Expert dan CP130) manakala Kasma Daniel Kasmayuddin muncul juara pada edisi 2016  di Kemaman dan 2018 di Kuala Terengganu.

Berdasarkan pencapaian tersebut, apakah nama baharu akan muncul juara pada aksi Pusingan 5 nanti atau mampukah Afif memenuhi impian para peminat di negeri kelahirannya untuk melihat dia berada di podium utama.

Ia bukan perkara mustahil buat Afif untuk merealisasikannya kerana dia antara pelumba yang dilihat  konsisiten dalam setiap penampilannya musim ini.

Musim ini, dia bermula dengan meraih kedudukan keempat pada Pusingan 1 sebelum muncul naib juara (Pusingan 2) diikuti juara (Pusingan 3) dan sekali lagi muncul naib juara pada saingan di Pontian bulan lalu.

Berdasarkan pencapaiannya, dia satu-satunya pelumba yang dilihat stabil meskipun pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar sudah bergelar juara sebanyak dua kali iaitu pada Pusingan 1 dan 2.

Di Pontian, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abd Jalil mencipta kejutan apabila menamatkan perlumbaan dengan status juara, namun prestasinya sejak Pusingan 1, tidak begitu meyakinkan.

Justeru, saingan di Terengganu nanti boleh dikatakan terbuka kerana beberapa pelumba senior seperti Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team), Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing), Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) serta Azroy, pasti mahukan penamat podium bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta keseluruhan.

Malah, Zaqhwan, Fazli dan Fazrul pernah bergelar juara pada saingan di Terengganu sebelum ini.

Selain itu, litar yang bakal mereka harungi di Terengganu nanti merupakan litar baharu yang mempunyai 12 selekoh sukar terutamanya di selekoh 7 hingga 10.

Selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Afif terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan 78 mata diikuti Azroy (55) dan tempat ketiga dipegang Azhar dengan 43 mata.


No comments: