Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi atau Intelligence that Inspires
Challenge anjuran PROTON telah berakhir pada 29 Julai 2019 dengan penuh keterujaan di Pusat Kecemerlangan PROTON (COE). Sebanyak 12 kumpulan bersaing antara satu sama lain dan membuat pembentangan akhir mereka kepada seramai tujuh orang juri yang terdiri daripada pengurusan kanan PROTON, pakar industri pemasaran dan pengamal media.
Pemenang keseluruhan bagi pertandingan ini ialah kumpulan Eureka dari Politeknik Port Dickson yang telah mencuri hati barisan juri dengan idea inovatif mereka serta mempamerkan pembentangan yang baik. Tempat kedua pula ialah kumpulan Alpha dari Taylor's Lakeside Campus manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Alpha Visionaries dari UTAR Kampar.
Untuk memastikan para peserta peringkat akhir ini didedahkan dengan sebanyak mungkin pengalaman sebenar dunia pekerjaan, PROTON telah memanggil pakar-pakar dalam bidang pemasaran dan media untuk menjadi juri.
Diketuai oleh Cheng Seng Fook, Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON serta juri-juri dari industri pemasaran iaitu Tuan Abang Jimmy Abang Mordian, Ketua Pemasaran PETRONAS Dagangan, Assoc. Prof Dr Norbani Che Ha, Ketua Jabatan Pemasaran fakulti Perniagaan & Perakaunan di Universiti Malaya dan Encik Devan Perinpanay, Pengurus Negara VM Ware Malaysia. Pengamal media yang turut menjadi juri ialah Encik Hafriz Shah, Ketua Pengarang di Paultan.org, Encik Gan Yong
Li, pengasas dan pemilik laman web Pandulaju.com.my dan Encik Eugene Wong Kang Yen, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Sin Chew Daily.
Setelah meneliti setiap pembentangan, para juri kemudiannya diberi masa untuk berbincang antara satu sama lain sebelum menentukan pemenang. Kumpulan yang mendapat skor keseluruhan tertinggi diumumkan sebagai pemenang dan mereka dipilih tidak semestinya berdasarkan skor tertinggi dari markah setiap juri.
"Tahap pemikiran asli, daya kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan di peringkat akhir ini telah
memberi kejutan kepada para juri. Kami juga pernah menjadi pelajar seperti mereka jadi kami tahu bahawa untuk membentangkan idea kepada barisan pakar di industri jelas memerlukan banyak latihan dan keyakinan diri. Bagi saya, setiap peserta kumpulan di peringkat akhir ini adalah pemenang yang mempunyai masa depan cerah dalam mana-mana industri yang mereka mahu sertai kelak, jadi saya berasa senang hati untuk melihat masa depan negara kita yang akan diterajui oleh rakyat Malaysia yang sangat pintar," kata Cheng Seng Fook.
No comments:
Post a Comment