PROTON mencatatkan kenaikan jualan bagi tahun 2019 dengan jualan sebanyak 9,127 unit pada bulan Ogos 2019 yang merupakan 17.6% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan itu. PROTON satu-satunya antara lima jenama terkemuka mencatatkan jumlah pertumbuhan dua digit dengan mencatat kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia, PROTON kini tampak mampu mengatasi keseluruhan jualannya pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit sebelum akhir bulan September.
"PROTON sangat berterima kasih di atas penerimaan pelanggan terhadap pelbagai penawaran yang diberikan oleh kami. Syarikat telah mencatatkan pertumbuhan jualan terbaik berbanding lima jenama terkemuka pada tahun ini dan meskipun TIV Malaysia telah menurun sebanyak 5.8%, pertumbuhan jualan sebanyak 36% menunjukkan kami kini berada di landasan yang betul. Melalui inisiatif seperti pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S serta penambahbaikan khidmat pelanggan dan kualiti produk yang ditetapkan untuk tahun ini, kami yakin akan dapat mengakhiri 2019 dengan kedudukan yang kukuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.
Tempahan yang diterima untuk Saga 2019 yang dilancarkan pada 6 Ogos lalu kini telah melebihi 10,000 unit. Lebih 1,000 daripada tempahan tersebut adalah melalui platform secara dalam talian PROTON di mana pelanggan boleh menempah model tersebut hanya dengan RM9.99. Oleh kerana model ini mendapat penerimaan luar biasa, Syarikat melanjutkan tempoh tempahan dalam talian sehingga 17 September.
"Melihatkan pada angka tempahan yang diterima, Saga 2019 ini sangat popular di kalangan para pelanggan yang tertarik dengan rekaannya yang diperbaharui, komponen yang dipertingkat serta sistem infotainmen skrin sentuh yang ditawarkan. Kami juga kagum dengan jumlah tempahan dalam talian yang diterima, di mana angka tersebut telah melebihi jumlah yang kami terima untuk Proton X70, justeru itu, kami melanjutkan tempoh tempahan dalam talian untuk memberi peluang kepada pelanggan menggunakan platform yang disediakan," tambah Dr Li Chunrong.
No comments:
Post a Comment