Perodua perluas inisiatif hijau dengan kempen anti-sampah

Perodua sedang bekerjasama dengan sebuah agensi kerajaan Malaysia bagi mendidik orang ramai untuk mengekalkan kebersihan persekitaran, bermula dengan jalan raya.

Pagi tadi, Perodua telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) – sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – pada Kempen 1:0 'Satu Kenderaan, Sifar Sampah' untuk mencegah pembuangan sampah dari kenderaan.

Kempen tersebut menyaksikan sukarelawan daripada Perodua dan SWCorp mengagihkan 500 tong mini di sebuah stesen minyak bersebelahan Plaza Tol Jalan Duta Lebuhraya PLUS menghala KL, untuk mengingatkan mereka membawa pulang sampah kecil mereka dan buang di tempat sepatutnya daripada membuangnya dari kenderaan.
 Para sukarelawan juga mempamerkan papan tanda berwarna-warni yang memaparkan mesej-mesej anti-sampah, manakala sepanduk dan gegantung telah ditempatkan dengan jelas untuk menarik perhatian para pemandu yang keluar dari plaza tol tersebut.

Perodua berkongsi visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih bersih dan hijau. Kami percaya kombinasi pendidikan dan penguatkuasaan akan memberi impak yang berterusan dan berkekalan kepada masyarakat kita,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua berharap, pada Hari Merdeka Malaysia yang ke-62 ini, kita semua boleh memainkan peranan masing-masing dengan membuktikan kematangan minda kita dengan menjadikan kebersihan sebahagian daripada kehidupan.

Kami berharap rakyat Malaysia dapat mengurangkan, mengguna dan mengitar semula sampah mereka sebaik yang mungkin. Setiap usaha ada permulaannya. Selepas rumah, kenderaan merupakan tempat yang paling lama kita luangkan masa dan jika kita boleh memastikan kenderaan kita bersih, maka secara tidak langsung ianya dapat mengubah kehidupan kita,” katanya.
Di kampus Perodua di Sungai Choh, terdapat Laman Hijau (taman rekreasi) dan ECO Garden seluas 1,500 meter, yang mana kedua-duanya menerapkan pelbagai unsur mampan. Kebanyakan bangunan di kampusnya juga dipasang dengan panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Perodua adalah pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) No 1 di Malaysia. Ia telah menghasilkan dan menjual lebih daripada 680,000 EEV sehingga kini, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta SUV tujuh tempat duduk, Aruz.


No comments: