Pandu uji Toyota Vios baharu bukti kemampuannya


UMW Toyota telah mengatur satu sesi pandu-uji ke Desaru, Johor pada 17 & Januari lepas untuk mencuba Toyota Vios yang baharu. Generasi keempat Toyota Vios ini hampir kesemuanya baharu dengan hanya sedikit perubahan bahagian platform dan penampilan keseluruhannya.

Dari segi reka bentuk, ianya kelihatan lebih sporty dengan garis arus sisi yang berakhir ke depan secara agresif yang menampilkan wajah kereta itu cukup menarik bagi sebuah sedan kecil yang paling padat dan harga berpatutan. Vios ini turut dikenali sebagai Yaris ATIV di pasaran tertentu negara lain seperti Thailand, namun berenjin 1.3 liter manakala Vios 2019 yang dipasang di kilang baharu Toyota di bukit Raja ini dikuasakan enjin 1.5 liter.
Melangkah masuk ke dalam kenderaan ini dan anda akan dapati perubahan ketara pada papan pemuka dan panel instrumen yang telah direka bentuk semula, material kerusi dan kusyen baharu, konsol pusat yang direka bentuk semula, tambahan port pengecasan USB dan lampu kabin untuk penumpang belakang. Terdapat juga ruang simpanan yang ditambah dan sistem penyaman udara automatik sepenuhnya untuk semua varian.

Varian Vios 1.5 G mendapat tuil gear tangan atau paddle shifters dan rim aloi 16 inci sebagai standard, serta paparan meter Optitron Maklumat Multi Warna dan sistem infotainment DVD-AVX dengan kemampuan ketersambungan USB. Pandu uji yang telah dijalankan juga membuktikan bahawa Vios baharu ini lebih selesa dengan penggunaan bahan dan langkah penebat yang lebih baik yang berjaya menurunkan bunyi dan getaran ke tahap lebih rendah.


Penambahbaikan mekanikal juga dibuat kepada Vios ini. Enjin 1.5 liter Dual VVTi 4 silinder disatukan dengan kotak gear CVT yang dikawal kepada tujuh tahap kelajuan agar ianya menyampaikan kuasa secukupnya tanpa kekal pada rpm terlalu tinggi seperti sesetengah pesaingnya. Enjin berkuasa 106 hp dan tork sebanyak 140Nm ini memacu roda depan dan cukup tangkas di sekitar bandar. Ia menjanjikan kuasa yang mencukupi sebagai sebuah sedan kompak.

Perjalanan yang dilalui dari ibu negara ke selatan Johor dan balik semula didapati menyenangkan dengan tahap bunyi, gegaran dan hentakan (NVH) yang rendah dan cukup selesa bagi kelasnya. Toyota baharu ini boleh dijadikan pengangkutan yang selesa untuk semua orang pada kelajuan lebuh raya Malaysia. Pada kelajuan yang lebih tinggi, Vios ini masih mampu menangani keperluan stabiliti terutamanya dengan menetapkan mod pemanduan ke mod 'sport' sehingga 150-160kmh. Prestasi yang lebih baik mungkin akan memerlukan penambahan bar oleng atau profil kenderaan yang lebih rendah dan tayar yang lebih luas, namun mungkin akan  menjejaskan keseleaan perjalanan yang sedia baik kini.


Ruang dalaman yang selesa serta but barangan belakang yang besar membuatkan ianya sesuai untuk kegunaan keluarga. Kaum Hawa juga akan akan menyukainya kerana ianya mudah dipandu seperti sebagaimana sebuah sebuah Toyota lain.

Kebanyakan ciri Keselamatan Aktif berfungsi dengan baik terutama sekali Kamera Multi Pandangan (360 darjah) yang telah kami uji untuk meletak kereta atau menangani kawasan sempit.


Sistem Amaran Lintas Belakang (Rear Cross Traffic Alert) berfungsi baik untuk mengesan kereta yang melintas di belakang anda terutamanya ketika hendak berundur. Sistem amaran titik buta atau BLIS nampaknya berfungsi bagi memberikan amaran kenderaan di sisi dalam kawasan titik buta, namun mungkin perlu diperhalusi lagi sistem atau ruang pengesanannya memandangkan ia kadangkala menyala sendiri tanpa kehadiran kenderaan.
Anda boleh tahu berapa RM telah anda jimatkan dengan pemanduan berhemah anda.
Model ini telah diperkenalkan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 pada akhir tahun lalu dan sekarang telah dilancarkan secara rasminya. Toyota Vios ini hadir dalam tiga varian J, E dan G, yang kesemuanya dipacu kotak gear CVT 7 kelajuan), dengan harga bermula RM77,200.

Secara ringkasnya, generasi terbaru Toyota Vios yang popular ini telah mengalami banyak penambahbaikan namun masih mengekalkan reka bentuk ringkas yang menarik dan selamat untuk dipandu. Vios ini dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan Kawalan Pembantu Hill-start, serta telah diberi penarafan keselamatan lima bintang penuh oleh ASEAN NCAP. Dengan kesemua ciri ciri ini, ianya merupakan salah satu kenderaan sedan yang harus anda pertimbangkan untuk kegunaan peribadi mahupun bagi sebuah keluarga kecil.