Perodua sasar jual 231,000 unit untuk tahun 2019

Perodua telah mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2018, iaitu sebanyak 227,243 unit. Syarikat tempatan itu mensasarkan peningkatan sebanyak 1.7% kepada 231,000 unit menjelang akhir tahun 2019.

Angka ini disokong oleh kepopularitian Myvi dan pengenalan model Aruz baru-baru ini.
Myvi merupakan model terlaris Perodua pada tahun 2018, dengan 82,122 unit didaftarkan daripada 117,844 tempahan. Semenjak pelancarannya pada November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 Myvi telah didaftarkan dari sejumlah 147,000 tempahan.
Sementara itu, Axia, Bezza dan Alza pula kekal mengungguli segmen masing-masing dengan
70,821, 49,911 dan 24,389 unit dijual dalam tahun 2018.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka peningkatan jumlah industri
keseluruhan (TIV) sebanyak 0.21% kepada 600,000 unit tahun ini berbanding 598,714 unit
tahun lepas. Persatuan itu menjelaskan bahawa perkembangan tahun lepas disebabkan cuti cukai
(tax holiday) yang berlangsung dari bulan Jun hingga hujung Ogos, dan andainya tiada
insentif baharu, pasaran dijangka kekal pada paras ini pada tahun 2019.

“Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 1.7% tahun ini bukan
sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif
Malaysia yang dijangka akan berkembang sedikit tahun ini,” kata Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada para media hari ini di
majlis makan tengahari Tahun Baru Cina syarikat itu.

“Bagi Perodua, Myvi dijangka terus popular tahun ini, dan sejak kami memulakan
tempahan untuk Aruz pada 3hb Januari, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan
setakat ini. Memandangkan sasaran jualan kami 2,500 unit sebulan, angka ini sangat
menggalakkan,” ujar Zainal.

Perodua juga akan meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20%
daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selaras dengan
permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat
kepada pembekal automotif tempatan.
Menurut Zainal, 219,000 kenderaan telah  dihasilkan daripada dua-dua kilang Perodua
Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018
dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000
kenderaan pada tahun 2019.


“Perkhidmatan selepas jualan juga merupakan aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf kepuasan
pelanggan kami untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda,” kata Zainal.