"Perodua mensasarkan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran Malaysia Timur daripada 40% pada masa ini dan Perodua Aruz baharu akan menerajui perkembangan tersebut di wilayah ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad.
Semalam Dato’ Zainal telah menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo bertempat di Cawangan Perodua Kuching 1. Enam unit Perodua Aruz akan memulakan penjelajahannya dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,500 km bermula dari 16hb-22hb Mac 2019.
Di sepanjang penjelajahan, pasukan konvoi akan singgah di bandar-bandar utama termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan untuk bertemu dengan komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua kepada mereka.
"Saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa sejak pelancaran Perodua Aruz pada Januari lalu, lebih 4,000 unit telah diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan di seluruh negara setakat ini.
"Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia telah mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda," kata Dato' Zainal.
Beliau menambah bahawa ketinggian 220 mm dari aras tanah memberikan Perodua Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu, di samping itu menawarkan pemanduan yang selesa dan kemampuan merentasi keadaan jalan yang lasak atau berlopak dengan mudah.
Tambahan lagi, struktur body-on-frame menjadikan ia sangat tahan lama dan mampu menampung beban.
Tujuh tempat duduknya boleh dilaraskan dalam pelbagai cara untuk disesuaikan dengan gaya hidup pemilik. Turut ditawarkan, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang standard pada semua varian, ditambah juga Advanced Safety Assist 2.0 pada varian AV, menjadikan Perodua Aruz model yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.
Tiada lagi kerisauan tentang jarak stesen petrol seterusnya kerana Perodua Aruz adalah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diperakui kerajaan dengan penggunaan bahan api yang terbaik di kelasnya.
"Semua ini menjadikan Perodua Aruz sangat sesuai untuk Malaysia Timur yang mana model yang memberi nilai terbaik ini ditawarkan dengan harga RM74,900 untuk varian X dan RM79,900 untuk varian AV," kata Dato' Zainal.