Akhirnya Ahmad Fazli Sham mengundur
diri dari Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang akan memulakan cabaran di
Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac ini. Walaupun begitu, Fazli menggalas tugas baharu selaku jurulatih pelumba muda bersama
jurulatih utama pasukan, Rosnizam Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Obert
selain turut membantu tugas-tugas kejuruteraan dan teknikal sewaktu perlumbaan.
“Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan
diri dari arena Kejuaraan Cub Prix setelah berbelas tahun beraksi. Kalau
ikutkan, memang saya mahu lagi berlumba tetapi saya perlu akur kudrat saya
tidak seperti dahulu, ditambah pula untuk bersaing dengan pelumba-pelumba muda
yang lebih agresif dan bertenaga,” jelas pelumba berusia 37 tahun itu.
Juara Expert 2007 dan 2008 itu bagaimanapun masih tersenarai
dalam barisan pelumba pasukan di pentas Kejuaraan Motosikal Asia FIM dalam
kategori Underbone 150cc.
Fazli memulakan karier seawal tahun 2001 sebagai pelumba
persendirian sebelum dilamar pasukan Maju Motor pada tahun 2003. Sepanjang
kariernya, Fazli hanya pernah berpindah ke pasukan Fastrac Racing pada 2011
sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor pada tahun berikutnya.
Pada tahun 2018, Fazli dilamar oleh pasukan TKKR dan
menamatkan saingan di tangga ke-16 keseluruhan.Selain bergelar juara Expert pada tahun 2007 dan 2008, Fazli merupakan pemenang keseluruhan kategori Underbone 125cc (2 lejang) pada tahun 2004 dan 2005 dan pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada tahun 2009 serta memegang rekod pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Cub Prix (Expert, CP130 dan CP150) dengan 21 kemenangan.