Saingan Kelas SS600 ARRC Pusingan 4 Suzuka dijangka hebat

Pusingan 4  Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 bakal dilangsungkan pada 28 hingga 30 Jun ini di Litar Suzuka, Jepun.

Saingan bagi kelas SS600 nampaknya kan lebih berpihak kepada pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team, Peerapong Boonlert. Selepas mengharungi 3 pusingan setakat ini, beliau yang muncul juara bagi Perlumbaan 1 dan 2, turut mengungguli Perlumbaan 3 untuk mengumpul mata maksimum dengan 150 mata.

Peerapong muncul juara pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Sepang pada Mac lalu diikuti Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia dan terbaharu pada Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Chang Buriram hujung bulan lalu.

Andai dia berjaya meneruskan penguasaannya pada saingan Pusingan 4 di Suzuka nanti, gelaran juara keseluruhan musim ini sudah pasti berada dalam genggamannya walaupun masih ada dua pusingan lagi untuk diharungi sebelum musim 2019 ini melabuhkan tirainya.

Antara yang mampu untuk menghalang Peerapong daripada mengutip mata maksimum di Suzuka nanti dan mengesahkan kejuaraan lebih awal adalah pelumba Indonesia Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing Team) yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 71 mata.
Selain Andi,  Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia), Azroy Hakeem Anuar (Muasashi Boon Siew Honda Racing Team), Muhamad Adam Mohd. Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) dan juga Md Ramdan Rosli (ONEXOX TKKR SAG Racing Team), yang kesemuanya menghuni kedudukan lima teratas dalam carta keseluruhan, masih berpeluang untuk menyekat dominasi Peerapong yang sedang berada pada prestasi luar biasa setakat ini.

Situasi ini telah menjadikan persaingan bagi kelas SS600 di Suzukan nanti nyata bakal sengit kerana barisan pelumba yang berada dalam kedudukan lima teratas ini bertekad untuk tidak memberi laluan mudah buat Peerapong di Suzuka nanti.

Bagi pelumba negara, Azroy menyifatkan perjuangan masih belum berakhir kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika berada di atas litar.

Menurut pelumba pasukan Muasashi Boon Siew Honda Racing Team itu, tiada istilah menyerah dalam dirinya kerana persaingan masih terbuka.

“Kami tetap melontarkan cabaran bagi bagi merealisasikan sasaran untuk berada di podium. Pada masa yang sama, prestasi jentera harus berada dalam keadaan terbaik dan stabil kerana ia antara faktor penentu untuk menamatkan setiap perlumbaan dengan penyudah podium.

“Memang tidak dinafikan bahawa jentera Peerapong agak luar biasa ketika saingan di Buriram baru-baru ini, tetapi segala kemungkinan boleh berlaku kerana suasana akan berubah di litar yang berbeza,” jelas Azroy ketika ditemui selepas beraksi pada Kejuaraan Superbike Malaysia 2019 (MSBK) di Sepang baru-baru ini.

Menurutnya, perbezaan mata yang agak jauh antara dia dan Peerapoong disebabkan dia tidak beraksi pada Pusingan 2 di Australia, April lalu kerana jadual perlumbaan bertindih dengan Kejuaraan Moto2 Eropah  (CEV) Sepanyol yang turut di sertai Kasma Daniel.

“Keadaan mungkin akan berubah jika saya tidak terlepas beraksi pada saingan Pusingan 2 itu,” jelas Azroy yang turut mendominasi saingan MSBK600 pada saingan MSBK 2019 di Sepang baru-baru ini.

Azroy kini menghuni tangga ketiga keseluruhan bagi kelas SS600 dengan mengumpul 69 mata manakala Kasma menghuni tangga kelima dengan 65 mata.

Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin berada di kedudukan keempat selepas meraih 69 mata.

Kedudukan keseluruhan kelas SS600 (Lima teratas)
1. Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing Team) – 150 mata
2. Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing Team – 71
3. Azroy Hakeem Anuar (Muasashi Boon Siew Honda Racing Team – 69
4. Muhamad Adam Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) – 69
5. Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) - 65


Kedudukan keseluruhan pasukan (Lima teratas)
1. Yamaha Thailand Racing Team – 150 mata
2. SIC Junior ZK Racing Team – 98
3. Hong Leong Yamaha Malaysia – 89
4. Astra Honda Racing Team – 79
5. Muasashi Boon Siew Honda Racing Team – 71