Ini merupakan kali pertama Pontian dipilih menjadi tuan rumah kejuaraan Cub Prix yang kini sudah berusia 25 tahun sejak ia mula diperkenalkan pada 1994.
Ketika Pontian mahu menjadikan kejuaraan itu nanti sebagai antara yang terbaik, semangat semua pasukan yang akan beraksi juga semakin memuncak. Mereka sudah lama berehat selepas berakhirnya perlumbaan Pusingan 3 di Tangkak, Johor pada 3-4 Mei lalu bagi menghormati bulan Ramadan.
“Pontian adalah trek baharu dan memang agak sukar buat semua pelumba. Saya yakin semua pelumba akan bersaing secara sihat dan selamat.
“Bagi saya, sasaran utama adalah untuk memburu penyudah podium dan akan berusaha untuk terus mengutip mata maksimum,” jelas Adib yang bakal turun dengan jentera Yamaha Lagenda di Pontian nanti.
Selepas mengharungi tiga pusingan setakat ini, Adib berada di kedudukan kedua dalam carta keseluruhan kelas CP115 dengan 41 mata hasil muncul juara pada Pusingan 3 di Tangkak dan tempat ketiga pada pusingan 3 di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Dia gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka.
Kedudukan keseluruhan kini kekal dipegang pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusuf yang sudah mengumpul 60 mata.
Aizat dilihat konsisten dengan prestasinya setakat ini apabila muncul naib juara dalam tiga pusingan terdahulu.
KEDUDUKAN KESELURUHAN CP115
Pelumba (Lima teratas)
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 60 mata
Md Adib Rosley (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing – 41
Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 38
Md Khairil Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 35
Md Aiman Azman (KL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 34
Pasukan
Motul Yamaha YY Pang Racing – 79 mata
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 78
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 44
ELF Koyoko Honda KV Racing – 33
ONEXOX TKKR SAG Team – 33