Helmi juara pertama 2020

 

Pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang (Utara) semalam.

Pada perlumbaan tersebut, Helmi menamatkan saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat (s), sekali gus meraih 20 mata kejuaraan setakat ini.

Helmi yang turut tampil hebat pada sesi kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada di hadapannya.

Sejak lap pertama, dia pantas menempatkan kedudukannnya dalam kelompok hadapan meskipun telah beberapa kali cuba dipintas oleh pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy Racing.

“Perlumbaan hari ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada permulaan, namun saya bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki lap keenam.

“Prestasi jentera juga telah memberi kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan ‘setting’ terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi perlumbaan hebat ini.”

Azroy antara pelumba yang diramal mampu menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi Azroy kerana dia turut terlibat dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.

 

 


 

No comments: