Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak minggu ini

Lebih kurang sebulan selepas penganjuran perlumbaan pembuka musim 2020, pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bakal bersambung di Litar Tangkak minggu ini.

 

Seramai 160 pelumba telah mengesahkan penyertaan mereka dalam tujuh kategori perlumbaan. Selepas pusingan pertama, kategori perdana CP150 jatuh ke bawah pimpinan Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing manakala empat pelumba pasukan ONEXOX TKKR  berjaya menakluki tangga teratas dalam kelas CP125. Sementara itu, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing mendahului tangga kejuaraan Wira KBS melalui bakat terbaru pasukan, Rahimi Nabil Razu.

 

Sepertimana yang telah ditetapkan dalam SOP penganjuran sukan tanpa sentuhan, acara Pusingan 2 ini akan berlangsung di dalam litar tertutup dan para peminat daerah selatan dinasihatkan supaya jangan mengunjung ke Litar Tangkak minggu ini. Peminat sukan pemotoran negara disarankan mengikuti perkembangan terbaharu menerusi laman sosial kejuaraan dan siaran langsung di TV1, RTM Sports dan Astro Arena.


Usammah nekad bangkit semula

 

Pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS Julai lalu, peminat-peminat sukan permotoran negara telah menyaksikan kebangkitan semula seorang pelumba muda berpotensi, Mohd Usammah Mohd Nazam.

 

Pertembungan sengit antara Usammah dan Zulhilmi Yazid mencuri tumpuan dalam perlumbaan akhir PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup. Bertarung bersebelahan sepanjang lima pusingan, Zulhilmi yang begitu dominan dalam sesi latihan dan kelayakan pusingan pembuka tirai, nyata kurang bersedia apabila Usammah mula mengorak langkah menguasai perlumbaan di lap terakhir. Kelajuan jentera nombor 99 itu membolehkan Usammah meninggalkan Zulhilmi sebanyak 2.5 saat di tempat kedua.


 

Kemenangan ini begitu bermakna kepada Usammah kerana ianya merupakan kemenangan pertama setelah dua tahun ketandusan podium kemenangan.

 

Ditemui selepas tamat perlumbaan, Usammah yang hanya berusia 19 tahun, menyatakan keinginannya menjadikan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup sebagai pentas untuk mendirikan karier perlumbaannya semula.

 

Perjalanan Usammah dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bermula pada tahun 2017 apabila, pada usia 16 tahun, Usammah menjuarai kategori Yamaha PETRONAS Super Series.

 

Secara lazimnya, pelumba yang menyerlah dalam mana-mana kategori ‘mono-brand’ senang mendapatkan tempat dalam pasukan-pasukan yang beraksi dalam kelas Wira KBS. Begitu juga Usammah yang ditawarkan tempat bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha.


 

Berusia 17 tahun pada masa itu, Usammah jelas bahawa beliau hanya mempunyai satu peluang untuk merangkul gelaran Juara Wira KBS. Namun, nasib tidak menyebelahi. Usammah terjatuh di awal musim 2018 dan kecederaan yang dialami menjejaskan prestasi Usammah dalam kategori Wira KBS tahun itu, hanya menduduki tangga ke-16 keseluruhan.

 

 “Pada musim seterusnya, saya terpaksa menyertai kategori CP115, walaupun berasa masih belum bersedia. Mungkin lebih bermanfaat sekiranya saya berpeluang untuk beraksi dalam kategori Wira KBS untuk semusim lagi. Tetapi usia tidak membenarkan. Saya terpaksa berganjak ke CP115 kerana sudah melebihi had umur kelas Wira,” kata Usammah.

 

Usammah menyahut cabaran CP115 bersama pasukan AFB Tech Racing yang dikendalikan oleh lagenda Cub Prix, Ahmad Fuad Baharuddin. Keputusan yang diperolehi dalam tahun pertama, kurang menyerlah. Masih dibayangi kecederaan musim lalu, Usammah hanya mampu menduduki tangga ke-16 keseluruhan CP115.

 

Setelah sekian lama bernaung di bawah pasukan profesional, Usammah kini menghadapi perlumbaan tanpa sokongan pasukan, sebagai seorang pelumba persendirian dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.

 

“Permulaan musim 2020 dijalankan dalam masa yang begitu singkat. Hari isnin buat pengumuman, hari Jumaat perlumbaan bermula. Sememangnya masa tidak mencukupi untuk membuat persiapan rapi. Mujur, pakcik saya mempunyai sebuah motosikal Pro-Am yang sudah berusia tiga tahun. Saya minta pinjam,” kata Usammah.

 

“Keadaan motosikal itu, boleh dikatakan agak teruk juga, banyak alatan yang terpaksa ditukar. Pada masa yang sama, keluarga saya kurang menyokong keputusan untuk meneruskan perjalanan dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup. Tetapi saya enggan berganjak. Berputus asa itu jalan singkat sebenarnya,” ujarnya yang hanya berusia 19 tahun itu.

 

“Berbekalkan dana yang dikumpul sendiri, saya bersama seorang kawan rapat ke Litar Sepang untuk perlumbaan pertama. Oleh kerana kategori ini disifatkan sebagai kelas semi-amatur, kebanyakkan peserta Pro-Am mempunyai mekanik sendiri untuk membantu dalam tugas penyelarasan motor. Bagi Usammah pula, semua tugasan itu perlu digalas sendiri – dari kerja pendaftaran, pemeriksaan jentera, isi minyak, dan persediaan jentera.”

 

Dalam sesi latihan pertama, Usammah hanya menduduki tempat ke-13, 9 saat di belakang pendahulu kategori Pro-Am, Zulhilmi Yazid. Usammah memperbaiki kedudukan secara mendadak dalam sesi kelayakan, dari tempat ke-3 dalam sesi latihan pertama ke tangga ke-2.


 

Usammah mengekalkan kedudukan tersebut dalam perlumbaan saringan Pro-Am dan berjaya melayakkan diri ke garisan pertama di perlumbaan akhir. Kemenangan yang diperolehi di pusingan pembuka tirai adalah kemenangan pertama buat Usammah setelah dua tahun berhempas pulas dalam kategori Wira KBS dan CP115.

 

 “Saya ingin menggunakan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup ini sebagai pentas untuk saya membina nama semula. Saya berharap dapat menarik perhatian para pemilik pasukan semoga dapat diberikan peluang kedua untuk membangunkan semula karier saya sebagai seorang pelumba professional,” kata Usammah.