Kumpulan Michelin komited untuk menjadikan
produk tayarnya bertaraf 100% lestari menjelang tahun 2050. Ia diilhamkan oleh konsep tayar VISION yang diperkenalkan pada tahun 2017, iaitu solusi berciri tanpa udara, terhubung, mampu disesuaikan, serta bersifat lestari sepenuhnya,
Hari ini, hampir 30% daripada komponen sesebuah
tayar yang dihasilkan oleh Michelin Group adalah diperbuat daripada bahan-bahan
semula jadi, dikitar semula atau bersifat lestari.
Tayar Michelin merupakan
produk berteknologi tinggi yang mencakupi lebih daripada 200 jenis bahan. Getah
semula jadi merupakan komponen yang paling utama, di samping bahan-bahan yang
lain seperti getah sintetik, logam, gentian, termasuk komponen yang
memperkukuhkan struktur tayar seperti karbon hitam, silika dan pemplastik
(resin, dll.). Disatukan dengan nisbah yang sempurna, bahan-bahan ini
berinteraksi antara satu sama lain untuk membawakan keseimbangan yang optimum
dari segi prestasi, kebolehpanduan dan keselamatan, di samping mengurangkan
impak tayar berkenaan terhadap alam sekitar.
Michelin merungkaikan cara untuk membuat tayar bertaraf 100%
lestari
Saksikan video ini yang menunjukkan
resipinya.
Suatu objektif yang sedang
dicapai dengan keupayaan R&D bertaraf tinggi….
Kematangan Michelin dalam
teknologi material berpunca daripada keupayaan R&D, ia ditunjangi oleh
6,000 individu yang berkhidmat dalam tujuh buah pusat penyelidikan dan
pembangunan di seluruh dunia, serta mahir dalam 350 bidang kepakaran. Komitmen
yang diberikan oleh para jurutera, penyelidik, ahli kimia dan pembangun telah
menjurus kepada pemfailan 10,000 paten yang mencakupi aspek reka cipta dan
pembuatan tayar. Mereka bekerja keras saban hari untuk menemukan resipi yang
mampu menaik taraf tahap keselamatan, ketahanan, kebolehpanduan, dan pelbagai
ciri-ciri prestasi tayar, di samping membantu menjadikannya 100% lestari
menjelang tahun 2050.
….serta usaha sama yang berani dengan perusahaan baharu serba
inovatif
Michelin juga sedar bahawa
kepesatan dan resmi inovasi memerlukan kerjasama dalam bentuk yang baharu, maka
atas sebab inilah tercetusnya kerjasama dengan perusahaan baharu serba inovatif
yang menawarkan prospek tanpa batas. Teknologi yang dibangunkan melangkaui
dunia tayar itu sendiri dan boleh digunakan dalam pelbagai industri yang lain,
lantas para penggiat industri ini juga dapat memanfaatkan bahan yang boleh
diguna semula tanpa ada hadnya. Teknologi ini turut merealisasikan usaha untuk
mengitar semula polistirena dan memulihkan karbon hitam atau minyak pirolisis
daripada tayar terpakai.
Axens dan IFP Energies Nouvelles, dua syarikat yang sedang
mengepalai projek BioButterfly, telah berkhidmat bersama Michelin sejak
tahun 2019 dalam pembuatan butadiena bersumberkan bio untuk
menggantikan butadiena berasaskan petroleum. Dengan menggunakan biojisim
daripada kayu, sekam padi, daun, batang jagung dan sisa tanaman lain, 4.2 juta
tan serpihan kayu dapat digunakan dalam tayar Michelin setiap tahun.
Dimeterai pada November
2020, usaha sama antara Michelin dan Pyrowave yang berpangkalan di Kanada mampu
menghasilkan stirena daripada plastik selepas dikitar semula, iaitu plastik
yang ditemui dalam pempakejan produk seperti bekas yogurt dan dulang makanan,
atau dalam panel insulasi. Stirena merupakan monomer yang penting untuk bukan
sahaja menghasilkan polistirena, malah getah sintetik untuk tayar dan pelbagai
barangan yang lain. Justeru, jumlah bahan yang setara dengan 42 bilion bekas
yogurt boleh dikitar semula kepada tayar Michelin setiap tahun.
Proses perintis ini
dibangunkan oleh perusahaan baharu yang berasal dari Perancis, Carbios yang
akan berpangkalan di lokasi Michelin mulai musim luruh tahun 2021. Ia
menggunakan enzim untuk menguraikan sisa plastik PET kepada bentuk monomer
tulennya yang asal, yang dapat dipulihkan tanpa had serta digunakan semula
untuk menghasilkan plastik PET baharu. Salah satu jenis plastik yang dipulihkan
ini ialah gentian poliester yang digunakan dalam pembuatan tayar. Sekitar empat
bilion botol plastik berpotensi untuk dikitar semula kepada tayar Michelin
setiap tahun.
Akhir sekali, Michelin
telah mengumumkan pada Februari 2021 bahawa ia bakal melancarkan pembinaan
kilang miliknya bagi tujuan pengitaran semula tayar, iaitu yang pertama di
dunia bersama Enviro. Syarikat
Sweden ini telah membangunkan teknologi berpaten untuk memulihkan karbon hitam,
minyak pirolisis, keluli, gas, dan bahan-bahan baharu lagi berkualiti tinggi
yang lain daripada tayar yang telah tamat tempoh hayatnya. Ia dapat membolehkan
seluruh bahan yang terkandung di dalam tayar ini dipulihkan dan digunakan
semula dalam proses pembuatan berasaskan getah yang lain.
Michelin juga menyokong
ekonomi pekeliling (circular economy), seperti yang dibuktikan melalui
penyertaannya dalam konsortium BlackCycle Eropah. Projek ini, yang
disusun oleh Michelin Group serta dibiayai oleh Kesatuan Eropah, menghimpunkan
13 rakan kongsi dari sektor awam dan swasta untuk mereka cipta proses pembuatan
tayar baharu daripada tayar tamat hayat.
Untuk mendapatkan maklumat
lanjut mengenai inisiatif kelestarian Michelin Group ini, layari laman web kami di sini.
Pada
tahun 2020, 28% daripada bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan tayar
Michelin Group adalah bersifat lestari.