Maju Motor orak langkah awal musim 2021

 

Nazirul Izzat Mohd Bahauddin menghadiahkan kemenangan pertama musim 2021 kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor musim ini di pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS. Izzat baru  menyertai pasukan tersebut musim 2021 ini.

 

Kemenangan ini merupakan kemenangan CP150 kedua bagi pelumba berusia 21 tahun itu. Nazirul memulakan perlumbaan di Litar Sepang Utara itu dari barisan kedua. Petak pertama diduduki oleh Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team.

 

Namun, Azroy Hakeem sedikit tertinggal sebaik perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu dimulakan. Aiman Tahiruddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing muncul sebagai pendahulu awal perlumbaan tetapi Aiman tidak dapat menyekat kemaraan pelumba-pelumba lain dalam kelompok pertama. Nazirul pula bijak mempertahankan kedudukan di dalam kelompok tersebut. 


Pada lap terakhir, Nazirul mula mengorak langkah memperbaiki posisi perlumbaan. Dari tempat ke-7 di lap 10, Nazirul muncul di garisan hadapan pada selekoh terakhir lap terakhir. Strategi bijak Nazirul itu membolehkan pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu melakar kemenangan kedua kategori premier Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

 

“Saya begitu berpuas hati dengan keputusan hari ini. Kemenangan ini sememangnya begitu berharga bagi saya. Setelah lebih enam bulan tidak beraksi akibat kecederaan tangan, kemenangan ini telah memulihkan tahap keyakinan saya untuk terus berjuang untuk merebut takhta CP150 musim ini. Kemenangan ini lebih berharga kerana ianya seandai hadiah awal untuk pasukan baru saya – PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor,” kata Nazirul. Kemenangan terakhir Nazirul dicatat pada musim 2019 di Kangar.

 

Azroy Hakeem Anuar menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dengan catatan masa 14’38.096s. Tempat ketiga dihadiahkan kepada pelumba SCK Honda Racing Team, Mohd Izam Ikmal.


Dengan kemenangan ini, Nazirul mengambil alih kepimpinan kategori CP150 dengan 29 mata. Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga kedua dengan 28 mata manakala Mohd Izam Ikmal kini menduduki tangga ke-tiga keseluruhan dengan 25 mata.


CP150

 

1. Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – Maju Motor), 14’38.028s

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 14’38.096s

3. Mohd Izam Ikmal (Honda, SCK Honda Racing Team), 14’38.291s


Mata Kejuaraan Keseluruhan CP150

 

1. Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – Maju Motor), 29 points

2. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 28 points

3. Mohd Izam Ikmal (Honda, SCK Honda Racing Team), 25 points



No comments: