Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela oleh PUSPAKOM

 

PUSPAKOM sekali lagi menganjurkan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection  (VVI) dengan menawarkan pemeriksaan kenderaan percuma kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian bermula 21 Januari hingga 31 Januari 2022. 

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pemeriksaan percuma ini boleh membuat temujanji dalam talian MyPUSPAKOM di www.mypuspakom.com.my. Perkhidmatan ini ditawarkan di semua  pusat pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan kepada kenderaan komersial berat sahaja) dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Sebagai pilihan, orang ramai juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma ini secara ”walk-in” di Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM pada tarikh dan tempat yang ditetapkan seperti di bawah:

1 Lotus’s Ampang 22 Januari 2022 9.00 pagi – 4.00 petang

2 Seng Cars World, Sungai Long 23 Januari 2022 9.00 pagi – 4.00 petang

3 Wisma DRB-HICOM, Shah Alam 26 Januari 2022 9.00 pagi – 4.00 petang

4 Lotus’s Ara Damansara 29 Januari 2022 9.00 pagi – 4.00 petang

5 RnR Dengkil (Arah Selatan), Lebuhraya Plus 30 Januari 2022 9.00 pagi – 4.00 petang

VVI melibatkan 25 item pemeriksaan  termasuk brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu,  bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan lain-lain lagi. 

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mohammed Shukor Ismail berkata, kempen ini merupakan tanggungjawab korporat PUSPAKOM bagi  meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap  keselamatan kenderaan khususnya ketika musim perayaan.

”Tahun lepas kempen ini hanya ditawarkan di pusat pemeriksaan PUSPAKOM sahaja.  Tetapi pada tahun ini, kempen ini juga ditawarkan kembali melalui Unit pemeriksaan bergerak PUSPAKOM. Orang ramai disarankan untuk merebut  peluang ini bagi mendapatkan pemeriksaan secara percuma demi memastikan kenderaan anda selamat dipandu, khususnya kepada mereka yang akan memandu pulang ke kampung halaman pada Tahun Baru Cina ini,” kata Shukor. 

Shukor menambah, perkhidmatan ini percuma demi kepentingan pengguna jalan raya di Malaysia di musim perayaan, di mana bilangan kenderaan menggunakan jalan raya meningkat. Fi lazim bagi Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini adalah RM50 bagi sebuah kenderaan persendirian.

Seperti biasa, orang ramai yang hadir ke  pusat pemeriksaan PUSPAKOM atau Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM untuk pemeriksaan kenderaan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelindung muka, mengimbas MySejahtera dan mengukur suhu badan. 


No comments: