VW Passat R-Line kini hanya RM211,916.88

 

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Passat R- Line baharu yang merupakan sebuah model naik taraf dengan kuasa lebih tinggi bersama ciri premium. Sekali gus meningkatkan statusnya selaku sedan saiz sederhana paling laris di dunia.

Passat R- Line baharu kini lebih berkuasa kerana enjin turbo 2.0TSI itu mampu menjana 220PS dan tork 350Nm. Enjin juga dipadankan dengan kotak gear klac basah DSG 6-kelajuan yang menawarkan pengalaman pemanduan dinamik. Pemanduan juga boleh dipersonalisasi menerusi ciri Dynamic Chassis Control (DCC).

Perincian yang halus telah ditambah pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih mewah. Ciri paling ketara ialah sistem audio premium Harman Kardon yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara berprestasi tinggi dan amplifier 700-watt. Ia mampu menghasilkan pengalaman audio yang mengasyikkan dalam setiap perjalanan. Kawalan pendingin hawa dengan sentuhan haptik yang ringkas dan mudah digunakan turut disediakan. 

Dipasang di Pekan, Passat R- Line baharu hadir dalam lima warna termasuklah warna perak (Scale Silver) baharu. Ia menjadi model kedua di Malaysia yang menerima logo baharu Volkswagen. 

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berbesar hati untuk memulakan tahun 2022 dengan melancarkan Passat R-Line baharu yang telah dipertingkatkan. “Passat dibina di atas kejayaan gabungan di antara kelas dan prestasi yang menjadikannya sedan pilihan sofistikated di pasaran antarabangsa serta tempatan. Kami telah mengekalkan ciri-ciri unik Passat R-Line dan menambah baik aspek prestasi untuk menjadikannya rakan paling ideal buat pemandu yang bijak menilai.”

CIRI-CIRI UTAMA

Enjin dan Prestasi 

Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI dan transmisi klac basah DSG 6-kelajuan yang mampu menjana 220PS dan tork 350Nm, Passat R-Line baharu menjanjikan pemanduan mengujakan buat mereka yang berani.  

Pengalaman memandu dipertingkatkan lagi dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu mengubah suai gaya pemanduan mengikut keperluan. 

Penjimatan bahan api adalah sekitar 6.9l/100km.

Sistem bunyi

Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt hadir dengan 12 unit pembesar suara (termasuk sebuah subwoofer) untuk menawarkan kualiti akustik yang padu dalam empat mode iaitu Pure, Chill Out, Live dan Energy.

Warna  

Pilihan untuk warna metalik ialah perak (Scale Silver), biru (Aquamarine Blue), dan kelabu (Manganese Grey); manakala warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) ialah warna mutiara yang ditawarkan tanpa kos tambahan.

Harga 

Dengan pengecualian cukai jualan sekarang, Passat R-Line ditawarkan pada harga bermula RM211,916.88 . Ia juga hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.  


No comments: