Ujian jalanan sistem amaran perlanggaran untuk motosikal dimulakan

 

 Satu kerjasama penyelidikan telah dibentuk antara MIROS dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi menguji keberkesanan sistem MCAS dan seterusnya mempertingkatkan keupayaan dan kebolehsediaan sistem ini menerusi satu kajian rintis yang akan melibatkan penunggang motosikal sebenar. Melalui kajian ini, sebanyak 45 unit sistem MCAS akan dibangunkan dan dipasangkan pada motosikal milik penunggang motosikal persendirian dalam kalangan mereka yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan motosikal. 

MIROS telah berjaya membangunkan prototaip Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS atau MIROS Motorcycle Collision Alert System (MCAS) tersebut pqda tahun 2021. Sistem amaran perlanggaran MCAS ini berupaya untuk mengesan kenderaan yang bergerak perlahan atau berhenti di hadapan dengan tepat dan memberi amaran kepada penunggang motosikal dalam masa yang mencukupi seterusnya memberi ruang kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran secara selamat. Kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi Sistem Bantuan Pemandu Termaju atau Advanced Driver Assistance System (ADAS) untuk penunggang motosikal ini adalah sesuatu yang memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ADAS adalah sangat terhad dan tidak begitu meluas dalam rekabentuk dan pembuatan motosikal, terutamanya melibatkan motosikal berkapasiti enjin yang rendah. Permohonan paten untuk sistem amaran perlanggaran MCAS yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman MIROS ini telah dimajukan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun 2021.


Proses pencarian 45 orang peserta kajian dijadualkan bermula pada bulan Jun 2022 dan akan diumumkan secara rasmi melalui platform media sosial dan melalui kenyataan media. Untuk kajian rintis ini, pemilihan peserta akan melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang. Sistem MCAS akan dipasangkan pada motosikal peserta selama tiga bulan untuk menguji keberkesanan sistem amaran perlanggaran tersebut. Hasil kajian ini dijangka akan dikeluarkan pada suku pertama tahun 2023.

 
Kajian ini akan dibiayai secara bersama oleh PLUS yang akan menyumbangkan dana bagi membiayai kos pengumpulan dan analisa data kajian, sementara kos pembangunan 45 unit sistem MCAS akan dibiayai menggunakan dana penyelidikan MIROS. PLUS juga akan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan data kajian. MIROS sangat berbesar hati atas sokongan dan penglibatan PLUS dalam kajian rintis ini yang juga merupakan satu bukti jelas komitmen PLUS dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

“Kerjasama strategik antara MIROS dan PLUS dalam kajian rintis pemasangan sistem amaran
perlanggaran motosikal ini merupakan satu tanda aras dan pencapaian yang penting dalam kemajuan dan kapasiti penyelidikan MIROS. Kerjasama ini diharap dapat menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama dan sokongan pihak yang terlibat dalam rekabentuk dan pengeluaran motosikal serta
semua pemegang taruh untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal melalui pengaplikasian hasil kajian dan penggunaan teknologi termaju dalam reka bentuk motosikal yang lebih selamat,” ujar Ketua Pengarah MIROS, Dato’ Dr. Khairil Anwar Abu Kassim.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “Sebagai rakan strategik untuk keselamatan, PLUS berasa gembira diberi peluang berkolaborasi bersama MIROS dalam kajian rintis ini. Kami berharap, hasil
daripada penyelidikan ini mampu meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal. Ia seiring dengan pendekatan 3E (Engineering, Enforcement & Education) yang diadaptasikan
oleh PLUS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan sepanjang rangkaian lebuh raya kami. Ia juga bertepatan dengan matlamat kami untuk menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang
perjalanan mereka”.
Hasil kajian ini dijangka dapat memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di Malaysia. Inisiatif ini juga merupakan salah satu strategi untuk menyokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Nasional 2022-2030 untuk menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan penunggang motosikal.


No comments: