Hong Leong Yamaha akhirnya menggantikan model Lagenda 115Z yang telah bertahan selama lima generasi sejak tahun 2000, dengan pengenalan Yamaha EZ 115.
Kapcai baharu ini dikuasakan oleh enjin satu silinder 114cc yang mematuhi piawaian Euro 4 yang menghasilkan 9.9hp pada 7,750 rpm dan tork 9.5Nm pada 5,500rpm, yang direka dengan teknologi Blue Core agar ianya menjimatkan dan mesra alam.
Enjinnya dibina dengan konfigurasi SOHC sejukan udara dengan nyalaan suntikan bahanapi bagi menghasilkan kuasa pecutan yang memuaskan dan tangkas, walaupun ditunggang dengan pembonceng. Ketangkasannya mampu memudahkan perjalanan anda dalam mengharungi kesesakan jalan raya dengan memudahkan anda ke hadapan bagi mengelakkan deretan kenderaan. Transmisi 4-Kelajuan rotarinya memudahkan pemilihan gear yang sesuai bagi memenuhi kehendak kuasa ketika penunggang dalam keadaan yang berbeza.
Penutup dan fairing model serba baharu ini dipasang kemas, dengan rekabentuk moden dan menarik, dan lampu utama halogen yang lebih besar dan terang juga digabungkan secara kemas di bahagian hadapan, dan lampu belakang yang lebih besar juga memastikan keterlihatan anda kepada pengguna jalanraya yang lain.
Tangki bahan api mampu memuatkan sebanyak 3.9 liter. Ruang simpanan di bawah tempat duduk telah ditambah baik kepada 14 liter dan akan memuatkan topi keledar gaya jet. Ia juga mudah dibuka dengan memusing melalui kunci utama. Panel instrumen baharu termasuk lampu "Eko" dan juga penunjuk bateri.
Penghidup elektrik memudahkan anda menghidupkan anjin, dan jika bateri sudah lemah, masih ada penghidup tendang yang didatangkan sebagai peralatan standard.
Kuasa hentian didapati meyakinkan dari brek satu cakera di hadapan dan gelendung (dram) belakang. Suspensi yang selesa juga telah dipastikan melalui gabungan topang (fork) hadapan teleskopik dan penyerap kejutan berkembar belakang boleh laras untuk pramuatan.
Tiga warna ditawarkan bagi model serba baharu ini iaitu Merah, Cyan dan Biru.
EZ 115 ini diperkenalkan pada RM5,598, tidak termasuk cukai jalan, insurans atau pendaftaran dan didatangkan dengan waranti pembuatan selama dua tahun atau 20,000km yang mana terdahulu.
No comments:
Post a Comment