Projek kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang dan mengujikeberkesanan Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS atau MIROS Motorcycle Collision Alert System (MCAS) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pemenang bagi kategori Teknologi, Peralatan & Pembuatan untuk Anugerah Pencapaian Keselamatan Jalan Raya Global 2023 (GRAA 2023) anjuran International Road Federation (IRF).
Projek pemasangan rintis ini berjaya membuktikan keberkesanan dan kebolehupayaan sistem MCAS dalam persekitaran sebenar, sekaligus menunjukkan potensi sebagai satu penyelesaian berimpak tinggi untuk keselamatan penunggang motosikal.
Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS),Profesor Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Binti Ishak, “Pembangunan sistem MCAS merupakan
satu pencapaian signifikan bagi MIROS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan
jalan raya di negara kita. Kerjasama antara MIROS dan PLUS melalui projek pemasangan
rintis MCAS ini merupakan satu penanda aras penting keberhasilan yang mampu dicapai
melalui kerjasama strategik dan penglibatan semua pemegang taruh. Berdasarkan penemuan
dan pembuktian impak MCAS terhadap keselamatan penunggang motosikal, kami berharap
sistem MCAS ini dapat diperkembangkan ke peringkat industri dan pasaran dengan
ketersediaan dan akses yang meluas kepada semua penunggang motosikal.”
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Binti Nik Jaffar berkata,
“Sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia, PLUS sentiasa memberi penekanan yang
penting dalam meningkatkan tahap keselamatan lebuh raya selaras dengan aspirasi PLUS
ke arah lebuh raya pintar, lestari dan selamat. Berdasarkan statistik kemalangan PLUS pada
tahun 2023, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 72% daripada jumlah
keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya. Jalinan strategik antara PLUS dan MIROS
dalam membangunkan Projek MCAS merupakan kolaborasi inovatif dan berimpak tinggi yang
bertujuan membantu meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di lebuh raya.
PLUS terus komited memperkukuhkan kerjasama dengan MIROS serta agensi-agensi lain
dengan memberi fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan lebuh raya.”
Dibangunkan oleh MIROS pada tahun 2021 dan pelaksanaan kajian seterusnya dengan
kerjasama PLUS pada tahun 2022, sistem MCAS menggunakan teknologi Light Detection &
Ranging (LiDAR) untuk mengesan kenderaan atau halangan di arah hadapan dan memberi
amaran visual dan audio kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran
dengan selamat. Sejumlah 35 unit sistem MCAS telah dipasang secara ubah suai (retrofit)
pada motosikal peserta, melibatkan 18 model motosikal pelbagai jenama dan kapasiti enjin
(100 – 600 cc) yang didaftarkan dari tahun 2007 hingga 2021.
Sepanjang tempoh kutipan data, sistem MCAS telah diaktifkan sekurang-kurangnya sejauh
125,960 km dan selama 2,850 jam di jalan raya sebenar, dengan 75% kadar fungsian purata telah direkodkan. Berdasarkan data sejarah perlanggaran yang melibatkan peserta kajian,
MCAS telah membantu mengurangkan sehingga 89% dari jumlah perlanggaran di jalan raya
sepanjang tempoh kajian. Selain itu, peserta kajian melaporkan sekurang-kurangnya 1,013
kejadian hampir berlanggar (near-crash) di mana MCAS telah membantu mereka mengelak
perlanggaran dengan kenderaan lain.
Kejayaan usahasama antara MIROS dan PLUS ini diharap akan menginspirasikan lebih
banyak inisiatif keselamatan jalan raya yang berimpak tinggi pada masa hadapan. Komitmen
berterusan daripada semua pemegang taruh terhadap kecemerlangan dan kolaborasi
strategik akan terus menjadi asas kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan dan
meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.